Isnin, 1 March 2021 | 1:32pm

PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat 2021 lebih RM800 juta

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat lebih RM800 juta tahun ini, berbanding RM768 juta pada tahun lalu.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, berkata ia selaras prestasi memberangsangkan ditunjukkan pada tahun lalu, yang menyaksikan kutipan zakat agensi itu mencatat peningkatan kira-kira 12 peratus berbanding RM682 juta pada 2019.

Selain itu, katanya, PPZ-MAIWP juga menyasarkan peningkatan pembayar zakat kepada sekurang-kurangnya 500,000 tahun ini, berbanding 300,000 pada tahun lalu.

"Saya yakin di Wilayah Persekutuan, ada kira-kira 800,000 individu dan pihak yang boleh membayar zakat, cuma masalahnya kita tidak mendekati mereka, jadi kita kena turun padang dan beri penerangan kepada mereka.

"Insya-Allah, tahun ini kita sasarkan sekurang-kurangnya 500,000 pembayar zakat berbanding 300,000 pada tahun lalu. Kutipan zakat yang kita sasarkan pada tahun ini pula adalah RM800 juta ke atas.

"Saya yakin dengan apa yang kita sedang lakukan, kita akan berjaya," katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Identiti Korporat Baharu PPZ-MAIWP di Wisma PPZ di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

Ditanya kemungkinan kesan pandemik COVID-19 menjejaskan sasaran PPZ-MAIWP, Syed Ali yakin agensi itu mampu mencapai sasaran berkenaan menerusi strategi yang digariskan.

Katanya, antara strategi itu, adalah mendekati entiti korporat dan syarikat besar bagi memastikan mereka memahami tanggungjawab untuk semua pekerja Islam memotong zakat pendapatan sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan kasar atau bersih masing-masing.

Selain itu, katanya, PPZ-MAIWP akan mendekati sejumlah besar pekerja di syarikat yang masih belum melunaskan tanggungjawab membayar zakat, yang wajib dilaksanakan selaras tuntutan Islam.

"Masih ramai tidak membuat potongan gaji 2.5 peratus. Contohnya di sebuah agensi di ibu negara yang membayar zakat lebih 1,000 pekerja, tapi yang boleh bayar zakat sebenarnya lebih 7,000 orang.

"Ini tanggungjawab pemimpin dalam agensi dan syarikat, memastikan setiap pekerja Islam membayar zakat 2.5 peratus kerana mereka mendapat gaji tetap. Tidak ada masalah untuk perkara ini dilaksanakan dan sekarang dalam perbincangan.

"Saya juga meminta pengurusan tertinggi agensi dan syarikat membayar zakat 2.5 peratus dan menjadi contoh kepada orang di bawah," katanya.

Berhubung pelancaran identiti korporat baharu PPZ-MAIWP, Syed Ali berkata, agensi zakat itu kini berwajah baharu dengan penampilan lebih ceria, sekali gus memberi lebih keyakinan dan tarikan kepada orang ramai membayar zakat.

"Dengan identiti korporat baharu ini, saya berharap PPZ-MAIWP akan terus cemerlang dan kakitangannya akan meningkatkan usaha memastikan peningkatan pembayar serta kutipan zakat," katanya.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee. - NSTP/Aziah Azmee
Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X