Isnin, 1 March 2021 | 10:25am
Noorzainy (kanan) memantau SOP di SK Penaga, Kepala Batas, pagi tadi. - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad
Noorzainy (kanan) memantau SOP di SK Penaga, Kepala Batas, pagi tadi. - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad

Polis bantu kawal lalu lintas depan sekolah

KEPALA BATAS: Anggota trafik dan unit kereta peronda polis (MPV) membantu kawalan lalu lintas beberapa sekolah daerah ini yang terletak di kawasan sibuk.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pembukaan sekolah membabitkan murid PraSekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua hari ini, menyebabkan kesesakan laluan berhampiran sekolah di kawasan aliran trafik tinggi.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan memastikan ibu bapa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), polis menempatkan anggota trafik dan unit MPV supaya perjalanan lancar.

"Pegawai Perhubungan Sekolah yang dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga turun padang memantau SOP," katanya selepas tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Penaga, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, sekolah mengasingkan laluan kemasukan murid antara PraSekolah dan Tahun Satu serta Tahun Dua bagi mengelak berlaku kesesakan di pintu masuk.

"Penekanan SOP amat penting memandangkan wabak COVID-19 belum berakhir dan pihak sekolah ini menitikberatkan perihal ini.

"Hari ini bermula sesi persekolahan bagi murid PraSekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua membabitkan sebanyak 64 Sekolah Kebangsaan (SK) di daerah ini. Kita harap semuanya dapat mematuhi arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Norazmarini Sobri, 34, melahirkan perasaan lega apabila dapat menghantar anaknya yang berusia enam ke sekolah.

"Hari ini anak perempuan saya masuk ke PraSekolah dan minggu depan abangnya pula untuk Tahun Tiga. Kedua-duanya sudah tidak sabar untuk jumpa kawan-kawan mereka.

"Walaupun gementar dan bimbang dengan situasi sekarang, namun saya lega apabila kedua-dua anak dapat menuntut ilmu di sekolah kerana sesi bersemuka lebih baik.

"Saya percaya pengurusan sekolah melakukan yang terbaik bagi memastikan murid-murid patuh pada amalan norma baharu," katanya.

Berita Harian X