Sabtu, 27 Februari 2021 | 2:44pm

2 direman 4 hari kes rempuh kenderaan elak ditahan

PETALING JAYA: Dua lelaki yang nekad merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh, di sini, semalam, direman empat hari.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Majistret Petaling Jaya, Zhafran Rahim Hamzah, di sini, hari ini, bagi membantu siasatan polis.

Terdahulu, suspek berpakaian lokap berwarna ungu, tiba di hadapan pintu masuk mahkamah pada jam 11 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 45 saat menunjukkan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta Proton Waja dinaiki suspek yang enggan memberhentikan kereta ketika ditahan, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari semalam.

Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu dilihat melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta Perodua Myvi untuk mencelah di persimpangan lampu isyarat lokasi berkenaan.

Polis kemudian berjaya menahan salah seorang suspek berusia 35 tahun di sebuah kawasan perumahan di Desa Aman hasil maklumat orang awam, sebelum menjalankan operasi memburu Bob Mah Sing yang melarikan diri.

Seterusnya, Bob, 40, berjaya diberkas jam 11.45 malam tadi ketika bersembunyi di sebuah pangsapuri di Jalan Pluto, Seksyen U5, Shah Alam.

Bob yang masih bujang dan seorang penganggur, memiliki enam rekod jenayah dan 14 rekod dadah.

Berita Harian X