Jumaat, 26 Februari 2021 | 7:46pm

Tentera Darat fokus latihan pertempuran selepas COVID-19 terkawal

KUALA LUMPUR: Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan kembali kepada aktiviti penugasan asas mereka iaitu menjalani latihan pertempuran sebaik pandemik COVID-19 terkawal.

Pada masa ini sebahagian besar pegawai dan anggota TDM terbabit dalam pelaksanaan tugas menerusi Operasi Penawar (Op Penawar), Op Benteng dan kawalan di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, selain menjalani latihan setiap hari, pasukan TDM turut terbabit dalam bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan dan penguatkuasaan lain apabila khidmat mereka diperlukan.

"Kita pun tidak pernah menolak apa tugas diberi dan kita akan laksanakan semampu yang boleh termasuk bekerjasama dengan mana-mana agensi lain dalam kerajaan.

"Justeru, kalau ditanya tugas kami semasa keadaan aman, tugas kami setiap hari adalah berlatih berperang bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran rakyat negara ini sentiasa terpelihara," katanya dalam sesi Wawancara Khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88, di Wisma Perwira Darat, Kem Perdana, Sungai Besi, hari ini.

Zamrose berkata, pelaksanaan tugas Op Benteng bagi mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang turut membabitkan TDM sejak pelaksanaan PKP tahun lalu, sebenarnya sudah lama dilakukan pasukannya secara individu.

"Penugasan dalam Op Penawar dan sekatan jalan raya adalah sesuatu yang baru bagi TDM namun untuk Op Benteng yang memfokus terhadap pencegahan kemasukan PATI dan penyeludupan, kami lakukan menerusi Op Teras yang hanya membabitkan pasukan kami saja.

"Bezanya dalam Op Benteng ini TDM bekerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan agensi keselamatan lain," katanya.

Beliau berkata, TDM sentiasa berada dalam siap siaga untuk bekerjasama dengan agensi keselamatan lain namun berharap keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas diberikan perlindungan undang-undang bagi mengelak sebarang isu berbangkit.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain. - Foto NSTP
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain. - Foto NSTP
Berita Harian X