Jumaat, 26 Februari 2021 | 10:30am

Ismail Sabri, panglima ATM terima vaksin

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, serta pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada kira-kira jam 9.30 pagi ini oleh vaksinator Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi.

Ismail Sabri yang tiba sekitar 9.09 pagi melalui lima stesen untuk menjalani proses vaksinasi berkenaan, termasuk melalui saringan gejala, suhu dan stesen pemerhatian selepas diberikan suntikan vaksin COVID-19.

Turut menerima suntikan pada hari ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad turut menerima suntikan vaksin terbabit hari ini. – BERNAMA

Ismail Sabri hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Ismail Sabri hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Berita Harian X