Khamis, 25 Februari 2021 | 12:38pm
Muhammad Haikal menatap jenazah bapanya buat kali terakhir semalam. - Foto tular
Muhammad Haikal menatap jenazah bapanya buat kali terakhir semalam. - Foto tular

Calon SPM tak sempat tatap arwah bapa sejak minggu lalu

KUALA KANGSAR: "Sebelum dimasukkan ke wad minggu lalu, bapa sempat berpesan supaya saya jaga dan tengok-tengokkan emak dan adik.

"Bermakna sejak seminggu lalu jugalah saya tidak berpeluang bertemu, menatap, apatah lagi bercakap dengan bapa," kata Muhammad Haikal Iskandar Zamri.

Semalam, tular video merakamkan detik sedih Muhammad Haikal, 18, diberi kesempatan menatap wajah jenazah bapanya buat kali terakhir apabila van jenazah yang membawa jasad bapa kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu memasuki pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini.

Muhammad Haikal berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah bapanya, Zamri Abdul Hamid, 42, pada pagi Khamis lalu dan mereka sempat berbual, sebelum dia mengikuti kelas tambahan.

Beliau berkata, arwah bapanya sudah lama menghidap penyakit buah pinggang, namun baru-baru ini penyakit itu menjadi semakin teruk hingga mengakibatkan kerosakan hati, selain jangkitan kuman dalam darah yang menjadi penyebab kematian bapanya.

"Sewaktu pulang dari kelas tambahan, saya diberitahu bapa dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar, sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping kerana koma pada Jumaat lalu.

"Sepanjang tempoh hampir seminggu bapa di hospital, saya termasuk yang lain tidak dibenarkan melawat kerana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah wabak COVID-19.

"Sehinggalah pada kelmarin kami dimaklumkan bapa sudah tiada," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, pada mulanya pesanan supaya menjaga ibu dan adiknya yang dititipkan oleh arwah bapanya sebelum dimasukkan ke wad dianggap sekadar pesanan biasa.

"Saya tidak sangka itu adalah antara pesanan terakhirnya sebelum pergi.

"Fikiran sedikit terganggu ketika menjawab peperiksaan kertas Sejarah semalam, iaitu sewaktu van jenazah yang membawa jasad bapa ke pekarangan sekolah bagi memberi peluang saya menatap wajahnya.

"Saya juga masuk lewat 20 minit ke dewan peperiksaan dan ketika berada di dalam (dewan), ada masanya teringatkan arwah, namun saya cuba lupakan sekejap untuk memberi fokus kepada peperiksaan," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada guru yang cuba menenangkan, sebelum mengizinkan dan mengiringinya ketika menatap wajah bapanya buat kali terakhir.

"Arwah bapa ada menunjukkan sedikit perbezaan kelakuannya sebelum dimasukkan ke hospital apabila makan masakan kampung dengan terlalu berselera, berbanding kebiasaannya," katanya.

Muhammad Haikal berkata, kematian arwah bapanya yang juga satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga menyebabkan mereka empat beranak kini tinggal dengan sokongan keluarga di sebelah ibu.

"Kami bukanlah orang senang memandangkan arwah sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM1,100 sebulan, manakala ibu pula suri rumah.

"Walau apapun, saya akan lakukan yang terbaik dalam SPM 2020 kali ini bagi menuruti pesanan ayah supaya 'menggantikannya' untuk menjaga keluarga selepas ini," katanya.


Berita berkaitan:

  • Sempat tatap jenazah bapa sebelum jawab soalan SPM

  • Berita Harian X