Khamis, 25 Februari 2021 | 7:42am

Nabawan bertukar ke zon merah

KOTA KINABALU: Daerah Nabawan yang sebelum ini paling lama berada dalam zon hijau, akhirnya bertukar menjadi zon merah selepas mencatat peningkatan mendadak kes COVID-19 semalam.

Sebanyak 19 kes baharu direkodkan berpunca daripada satu kluster baharu dilaporkan di Nabawan berpunca daripada penjual ikan dari Kudat yang positif COVID-19.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata perubahan itu menunjukkan penularan COVID-19 sukar dijangka memandangkan Nabawan sebelum ini berada dalam zon kuning dan jingga.

Katanya, kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), selain kebenaran rentas daerah sebelum ini menyebabkan virus COVID-19 tersebar ke daerah berkenaan hingga menyebabkan ia bertukar ke zon merah.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun. - Foto NSTP
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun. - Foto NSTP

"Nabawan paling lama berada dalam zon hijau tetapi disebabkan seorang penjual ikan yang dikesan positif COVID-19 dari Kudat datang ke Nabawan sebelum ini, virus berkenaan akhirnya merebak dan hari ini ia menjadi zon merah.

"Sebab itulah juga kita tidak membenarkan lagi rentas daerah pada masa ini kerana aktiviti merentas daerah menyebabkan virus merebak dari satu daerah ke daerah lain," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, malam tadi.

Nabawan bertukar daripada zon hijau ke zon kuning pada bulan lalu sebelum bertukar ke zon jingga sehingga kelmarin dan berada di tempat kedua paling banyak kes selepas Kota Kinabalu, semalam.

Secara keseluruhan, sebanyak 105 kes dilaporkan di Sabah semalam, meningkat 11 kes berbnding 94 kes kelmarin dengan satu kematian di Tawau dan satu kluster baharu, manakala seramai 190 orang dilaporkan sembuh.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kluster baharu dilaporkan di Nabawan iaitu Kluster Sinsingon, semalam, dikesan selepas tiga pelajar yang disaring sebelum memasuki asrama positif COVID-19.

"Kluster itu mencatat 15 kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 18 kes.

"Kes indeks membabitkan tiga pelajar yang dikesan positif melalui ujian RTK-Antigen. Ketiga-tiga kes tidak mempunyai gejala ketika disaring sebelum masuk ke asrama pada 22 Februari.

"Hasil saringan kontak rapat mendapati 15 daripada 30 orang ahli keluarga kepada pelajar terbabit, disahkan positif COVID-19.

"Jangkitan dipercayai berpunca daripada majlis penghormatan kematian keluarga dihadiri mereka di Kampung Sinsingon, Mukim Sapulut, Nabawan pada 17 hingga 20 Februari," katanya.

Katanya, dua daerah iaitu Kudat dan Semporna bertukar dari zon jingga ke zon kuning, menjadikan 11 daerah berada dalam zon kuning, dua zon jingga dan 14 daerah dalam zon merah semalam.

Masidi berkata, sebanyak 13 daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu, sembilan daerah mencatat kes satu angka, manakala lima daerah mencatat kes dua angka.

Berita Harian X