Rabu, 24 Februari 2021 | 3:50pm
Sayyid Uwais Al-Qarni
Sayyid Uwais Al-Qarni

Rawatan bertaraf orang kenamaan untuk Adam

KUALA TERENGGANU: Rawatan dan layanan bertaraf orang kenamaan (VVIP) untuk Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman atau Adam, 41 hari, ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, awal bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat mengakui akan menghubungi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan rawatan bertaraf VVIP diberikan kepada Adam yang disahkan menghidap penyakit saraf tulang belakang dan otak di luar tempurung kepala.

Katanya, Adam anak bungsu kepada pasangan Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, dan Mohd Lekman Zakaria, 35, yang dilahirkan pada 13 Januari lalu, dijangka menjalani pembedahan kedua untuk memasukkan bahagian otak ke dalam tempurung kepala, awal bulan depan.

"Saya sendiri akan menghubungi Dr Adham memohon pertimbangan agar rawatan dan pemeriksaan bertaraf VVIP diberikan kepada Adam.

"Kita akan bantu sekadar termampu untuk meringankan bebanan kewangan dihadapi Fatin Hazlin dan Mohd Lekman," katanya ketika ditemui selepas menziarahi Adam di kediamannya di Kampung Batu Hampar, Manir, di sini, hari ini.

Turut serta menziarahi Adam ialah Ketua Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Wan Khatijah Wan Bakar.

Berita Harian hari ini melaporkan Adam yang dilahirkan seberat 2.48 kilogram di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada 13 Januari disahkan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki.

Fatin Hazlin Dahlia dilaporkan berkata, Adam pernah menjalani pembedahan pada saraf tunjang seawal usia tujuh hari.

Katanya, doktor pakar memaklumkan pembedahan perlu dibuat dalam masa terdekat bagi memasukkan semula bahagian otak ke dalam tempurung kepala Adam.

Rozi yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan Wan Khatijah terus ke kediaman Adam selepas membaca dugaan berat bakal dihadapi Adam disiarkan hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berharap Fatin Hazlin dan Mohd Lekman tabah menghadapi dugaan itu.

"Kita akan panjangkan masalah kewangan dihadapi Fatin Hazlin dan Mohd Lekman kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

"Saya sudah dimaklumkan MAIDAM akan menghantar pegawainya untuk menyiasat dan akan membantu Fatin Hazlin serta Mohd Lekman esok," katanya.

Berita Harian X