Rabu, 24 Februari 2021 | 12:42pm
gambar hiasan
gambar hiasan

COVID-19: Terengganu terima vaksin esok

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dijangka menerima sebanyak 15,000 dos vaksin esok dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi individu pertama menerima suntikan.

Ahmad Samsuri dijangka menerima suntikan itu pada Jumaat.

Beliau berkata, pengurusan vaksin itu adalah secara bersama di antara Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan.

"Saya dimaklumkan vaksin akan sampai ke Terengganu esok dengan suntikan pertama kepada mereka yang terpilih dan barisan hadapan akan diadakan pada Jumaat in.

"Suntikan akan diberikan kepada barisan hadapan disusun mengikut daerah dan saya difahamkan untuk negeri Terengganu, Menteri Besar (MB) akan jadi orang pertama," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengenai waktu ketibaan dan tempat penyimpanan vaksin, Ahmad Samsuri berkata,ia bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, sebaliknya diuruskan oleh jawatankuasa yang dibentuk.

Katanya, kerajaan negeri hanya menyediakan dan memastikan aspek keselamatan dan segala keperluan infrastruktur diselesaikan.

"Sebenarnya vaksin sepatutnya tiba pada 28 Februari di Terengganu tetapi diawalkan kepada Khamis.

"Kita masih menunggu maklumat lanjut mengenainya dan lokasi suntikan vaksin yang akan dibuat.

"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menerima suntikan vaksin dan akan diuruskan bersama barisan hadapan di tempat masing-masing memandangkan mereka terbabit untuk berjumpa rakyat," katanya.

Berita Harian X