Selasa, 23 Februari 2021 | 6:37pm
Gambar fail, Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. - Foto Salhani Ibrahim
Gambar fail, Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. - Foto Salhani Ibrahim

`Seragamkan peraturan perjalanan luar negara seluruh dunia'

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa penerbangan antarabangsa dan negara seluruh dunia perlu mewujudkan prosedur perjalanan luar negara yang seragam dan konsisten, untuk kembali menghidupkan sektor penerbangan.

Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata ketika ini, setiap negara memperuntukkan dasar yang berbeza dan tidak konsisten untuk pelancong luar negara.

"Selagi mana ada dasar yang tidak konsisten oleh setiap negara, maka tidak ramai orang yang mahu memilih melancong ke luar negara.

"Kita perlukan satu organisasi yang kuat untuk meneliti dasar setiap negara dan mewujudkan satu dasar yang konsisten.

"Setiap negara boleh memiliki peraturan tersendiri, tetapi ia perlu konsisten. Dasar yang tidak konsisten oleh setiap negara hanya menimbulkan masalah untuk orang ramai melakukan perjalanan ke luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada siri webinar Akademi Sains Malaysia (ASM) STDIWebinar bertajuk 'Industri Penerbangan: Kembali Ke Udara?', hari ini.

Ahli panel lain dalam webinar itu termasuk Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohamed Sallauddin Mohamed Shah; Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Pengarah Pangolin Investment Management, Mohsin Aziz.

Sementara itu, Mohsin berkata, standard keselamatan yang seragam antara pelbagai negara diyakini menjadi langkah penting untuk melonjak pemulihan industri penerbangan.

Katanya, industri itu masih memiliki permintaan yang tinggi di seluruh dunia, namun peraturan yang pelbagai menyebabkan orang ramai mungkin keberatan untuk melancong ke negara luar apabila sempadan antarabangsa kembali dibuka.

"Kuarantin dilihat sebagai langkah keselamatan utama ketika ini, namun, ia juga penghalang utama untuk orang ramai melakukan perjalanan kerana tidak ramai yang mampu menanggung kos kuarantin beberapa hari, apatah lagi sehingga 14 hari.

"Masalahnya, peraturan kuarantin tidak konsisten antara setiap negara. Jika boleh diwujudkan kaedah yang seragam, ia akan menjadi langkah pertama untuk melonjakpemulihan sektor penerbangan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Sallauddin berkata, MAHB sedang mengusulkan sistem gelembung perjalanan terkawal untuk pelancongan udara, dengan mewujudkan platform integrasi maklumat pelancong.

Katanya, sistem gelembung perjalanan terkawal itu akan membabitkan kerjasama antara negara yang mencatatkan kes COVID-19 yang rendah dan berjaya menguruskan pandemik itu dengan berkesan.

Melalui kerjasama itu, semua maklumat pelancong seperti pasport, rekod saringan dan vaksinasi COVID-19, lokasi penginapan, tarikh perjalanan dan seumpamanya akan dikongsi dalam platform integrasi itu, yang boleh diakses syarikat penerbangan, pengurusan lapangan terbang, imigresen dan kedutaan.

"Sistem ini akan menjadi perjalanan pelancong itu jelas. Disebabkan pergerakan pelancong boleh dikesan, maka kami mengusulkan supaya negara yang melaksanakan sistem ini membatal atau mengurangkan tempoh kuarantin kepada tiga hari.

"Kami sudah bertemu dengan Kementerian Kesihatan (KKM), beberapa syarikat penerbangan luar negara dan kedutaan negara yang berjaya mengawal wabak dengan baik dan mengusulkan cadangan ini," katanya.

Berita Harian X