Selasa, 23 Februari 2021 | 6:28pm

COVID-19: 2,468 jangkitan baharu, 14 lagi kematian

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,468 jangkitan baharu COVID-19 dan 14 lagi kematian akibat wabak itu direkodkan, hari ini.

Jangkitan baharu itu meliputi 2,464 penularan tempatan membabitkan 1,549 warganegara dan 915 warga asing, selain empat kes import (masing-masing dua rakyat Malaysia serta bukan warganegara).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan jumlah jangkitan COVID-19 di negara ini mencecah 288,229 dengan 30,475 kes aktif.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi, iaitu 932 jangkitan, diikuti Johor (428) dan Perak (308).

"Sebanyak 14 kematian baharu pula membabitkan 13 warganegara dan seorang lagi rakyat Malaysia.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif korban COVID-19 kini mencecah 1,076 kes (0.37 peratus)," katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, 196 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 92 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seterusnya, sebanyak 4,055 pesakit pulih dilaporkan yang membawa kepada jumlah kumulatif 256,678 kes (89.05 peratus).

Berita Harian X