Selasa, 23 Februari 2021 | 6:28pm

Larangan rentas daerah, negeri berkesan

KUALA LUMPUR: Larangan rentas daerah dan negeri berkesan menurunkan jangkitan COVID-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sekatan itu memberikan kesan positif kerana keadaan terkini menunjukkan jumlah kes harian semakin menurun, berbanding jumlah kes harian yang direkodkan hujung tahun lalu dan awal tahun ini.

"Bulan lalu, kita merekodkan kes harian tertinggi, iaitu 5,725 kes dan sejak akhir-akhir ini, jumlah kes harian positif COVID-19 menurun ke sekitar 2,000 lebih.

"Walaupun masih mencatat kes empat digit, data Kementerian Kesihatan menujukkan satu sebab penurunan kes harian ialah langkah yang diambil kerajaan mengawal pergerakan orang ramai merentas daerah dan negeri," katanya dalam sidang media harian di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil iktibar susulan peningkatan kes ketika kebanyakan orang ramai, terutama yang tinggal di zon merah pulang ke kampung halaman masing-masing, pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.

"Ini menyebabkan kes naik mendadak di beberapa negeri. Jika dahulu, sesebuah daerah dikategorikan sebagai zon hijau, namun hanya beberapa minggu sahaja, daerah terbabit bertukar kepada zon merah.

"Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mematuhi arahan kerajaan.

"Antara penyumbang kepada penurunan kes ialah kepatuhan rakyat yang semakin tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Anggota polis dan tentera memeriksa perjalanan orang ramai di sekatan jalan raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Anggota polis dan tentera memeriksa perjalanan orang ramai di sekatan jalan raya di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN
Berita Harian X