Selasa, 23 Februari 2021 | 5:52pm

PKPD Felda Triang 3 tamat lebih awal, Kampung Teluk tamat ikut jadual

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang baru enam hari dilaksanakan di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula 18 Februari lalu akan ditamatkan esok, lapan hari lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan iaitu 3 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati trend penularan wabak COVID-19 di lokaliti itu menunjukkan penurunan dan terkawal.

"Hingga kini KKM sudah selesai menjalankan 237 ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 11 kes positif direkodkan.

"KKM turut memaklumkan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan. Sehubungan itu, atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu esok, lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan," katanya dalam sidang media harian di Kementerian Pertahanan hari ini.

Sementara itu, katanya pelaksanaan PKPD di Kampung Teluk, Sitiawan, Perak yang dikuatkuasakan sejak 11 Februari lalu akan ditamatkan mengikut jadual esok.

"Hingga kini KKM sudah melaksanakan 131 ujian saringan ke atas penduduk dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 26 kes positif direkodkan.

"Bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi kes baharu dikesan selepas 17 Februari lalu. Oleh itu kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti itu, esok seperti yang dijadualkan," katanya.

PKPD Felda Triang 3 tamat lebih awal, PKPD Kampung Teluk, Sitiawan tamat ikut jadual. - foto fail BERNAMA
PKPD Felda Triang 3 tamat lebih awal, PKPD Kampung Teluk, Sitiawan tamat ikut jadual. - foto fail BERNAMA
Berita Harian X