Selasa, 23 Februari 2021 | 12:51pm
Zamrose berbual-bual dengan penerima bantuan bantuan rumah, Rahim di Kampung Gedong, Simunjan selepas pelancaran Projek Jiwa Murni Hari Ulang Tahun Tentera Darat Malaysia Ke-88, hari ini. - Foto NSTP/MOHD ROJI KAWI
Zamrose berbual-bual dengan penerima bantuan bantuan rumah, Rahim di Kampung Gedong, Simunjan selepas pelancaran Projek Jiwa Murni Hari Ulang Tahun Tentera Darat Malaysia Ke-88, hari ini. - Foto NSTP/MOHD ROJI KAWI

Pandemik COVID-19 bukan penghalang Projek Jiwa Murni

SIMUNJAN: Pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara tidak menghalang Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk meneruskan Projek Jiwa Murni yang dirancang bagi membantu rakyat.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata bagi mengelak wabak berkenaan, program dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dilaksanakan di luar zon merah.

Katanya, pandemik COVID-19 bukan alasan untuk menghentikan projek itu kerana program itu menjadi landasan untuk mengeratkan hubungan di antara tentera dengan rakyat yang menjadi elemen penting, dalam lima tonggak perintah ulung Panglima Tentera Darat.

"Tahun ini, sebanyak 56 program Projek Jiwa Murni dengan peruntukan sebanyak RM3 juta akan dilaksanakan TDM di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Projek Jiwa Murni Sempena Hari TDM Ke-88 di pekarangan seorang penerima bantuan Projek Jiwa Murni, Rahim Bujang Ahmad di Kampung Gedong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Medan Timur TDM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustapha dan Panglima 3 Briged Infantri, Brig Jen Datuk Azhar Ahmad.

Zamrose berkata, di Sarawak sebanyak 22 program akan dirancang dengan 17 daripadanya dilaksanakan di kawasan Gedong.

"Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 untuk melaksanakan program Projek Jiwa Murni dengan RM500,000 diagihkan di Gedong dan TDM menerusi Rejimen Askar Jurutera Diraja akan melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata, selain Projek Jiwa Murni, pihaknya juga tetap meneruskan latihan peperangan.

Sementara itu, Rahim, 41, berkata beliau kagum dengan usaha anggota tentera yang bekerja siang dan malam untuk menyiapkan rumahnya hanya dalam tempoh empat hari.

Rahim yang menderita penyakit angin ahmar berkata, impiannya dan isteri serta empat anak untuk mendiami rumah yang lebih selesa kini, tercapai menerusi bantuan tentera itu.

Berita Harian X