Selasa, 23 Februari 2021 | 12:42pm

Sajat dikenakan waran tangkap

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab, hari ini.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Peguam syarie, Zuri Zaibuddin Budiman yang mewakili usahawan itu, mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan kes ditangguhkan ke 1 Jun depan.

"Saya pun tunggu dia datang tetapi tiada. Dia diwajibkan hadir pada tarikh baharu," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah, hari ini.

Selain Zuri Zabuddin, usahawan kontroversi itu turut diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari, Noor Azlina Che Hassan dan Amirah Zainal.

Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad, 36, dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan jadual asal, Muhammad Sajjad sepatutnya menghadapi sebutan semula kes itu pada jam 9 pagi tadi tetapi hingga prosiding berakhir, kelibatnya tidak kelihatan. – BERNAMA

Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat. - Foto fail NSTP
Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat. - Foto fail NSTP
Berita Harian X