Isnin, 22 Februari 2021 | 2:19pm
Pegawai Sains PIPS UMS, Noor Azimah Pelah (dua kanan) mewakili UMS menyerahkan pelindung muka UMS Covi-Pro untuk kegunaan pelajar yang menduduki SPM di SMK Putatan. - Foto ihsan UMS
Pegawai Sains PIPS UMS, Noor Azimah Pelah (dua kanan) mewakili UMS menyerahkan pelindung muka UMS Covi-Pro untuk kegunaan pelajar yang menduduki SPM di SMK Putatan. - Foto ihsan UMS

500 pelindung muka UMS Covi-Pro untuk calon SPM, STPM

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengagihkan 500 pelindung muka UMS Covi-Pro kepada pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, dekat sini.

Pelindung muka berkenaan dihasilkan sendiri oleh UMS sebagai antara inisiatif universiti itu untuk membantu usaha menangani penularan COVID-19, khususnya di Sabah.

Pengarah Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains (PIPS) UMS, Prof Madya Dr Zaleha A Aziz, berkata sumbangan itu sejajar keprihatinan UMS dalam mengekang penularan virus berkenaan di sekolah.

"Kita berharap sumbangan pelindung muka ini dapat dimanfaatkan oleh warga SMK Putatan sebagai perlindungan daripada jangkitan COVID-19 ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

"Sumbangan ini juga diharap dapat melindungi pelajar yang sedang menduduki SPM dan STPM supaya mereka dapat menghadapi peperiksaan sehingga selesai," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ia adalah sumbangan kedua pelindung muka daripada UMS kepada sekolah di Sabah selepas 250 unit diserahkan untuk guru dan pelajar SPM Sekolah Menengah (SM) St Mary, Limbahau, Papar, minggu lalu.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Putatan, Faridah Yanin, berkata sumbangan pelindung muka itu amat bermakna kepada pihak sekolah khususnya dalam membantu menjamin keselamatan pelajar daripada ancaman COVID-19.

"Ia turut memudahkan pihak sekolah dalam memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dipatuhi ketika menghadapi peperiksaan SPM dan STPM nanti," katanya.

Katanya, pelindung muka itu akan diagihkan kepada 262 pelajar yang menduduki SPM bermula hari ini, manakala 170 pelajar STPM yang akan menduduki peperiksaan pada bulan depan.

Pelindung muka UMS Covi-Pro pada awalnya dihasilkan oleh pasukan sukarelawan Fakulti Kejuruteraan universiti itu yang diketuai Dr Choong Wai Heng untuk kegunaan kakitangan dan anggota barisan hadapan UMS.

Sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab bersama untuk mengekang penularan COVID-19, universiti itu turut menyumbangkan peralatan berkenaan kepada petugas barisan hadapan di pelbagai agensi.

Antaranya ialah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Hospital Likas, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen dan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd.

Berita Harian X