X
Isnin, 22 Februari 2021 | 1:37pm

4,670 petugas kesihatan ATM diberi keutamaan suntikan vaksin

KUALA LUMPUR: Seramai 4,670 petugas kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara akan diberi keutamaan menerima suntikan vaksin COVID-19 apabila sejumlah 10,530 dos vaksin berkenaan diterima pasukan keselamatan itu bagi peringkat pertama bermula hari ini.

Perkara itu bagi membolehkan mereka melaksanakan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 secara berperingkat kepada lebih 130,000 warga ATM termasuk kakitangan awam Kementerian Pertahanan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Rabu ini.

Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan proses dokumentasi dan menampal pelekat keselamatan sebelum memasukkan vaksin COVID-19 ke dalam peti sejuk beku khas. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan proses dokumentasi dan menampal pelekat keselamatan sebelum memasukkan vaksin COVID-19 ke dalam peti sejuk beku khas. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin COVID-19/Inspektor Jeneral Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Datuk Dr Rosman Ab Rahman, berkata keutamaan suntikan juga akan diberikan kepada anggota ATM yang bertugas di zon merah dalam kawasan penularan COVID-19; anggota barisan hadapan termasuk Operasi Benteng (Op Benteng); kawalan sempadan negara serta sekatan jalan raya.

"Pada penghantaran fasa satu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, ATM akan menerima keseluruhan 84,240 dos vaksin berkenaan yang akan diberikan kepada 42,120 anggota ATM dengan setiap anggota menerima dua dos suntikan. Daripada jumlah itu, seramai lebih 4,000 petugas kesihatan ATM di seluruh negara diberi keutamaan untuk mendapat suntikan terlebih dahulu.

"Keseluruhan 84,240 dos akan diterima secara berperingkat dalam fasa satu melalui lima Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ATM merangkumi 54 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ATM di seluruh negara ," katanya hari ini.

Beliau sebelum itu bersama Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Datuk Dr A Halim Basari menerima penghantaran peringkat pertama sebanyak 4,680 dos untuk ATM di 93 Depot Perubatan dan Pergigian ATM (93 DPP AT), Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan DHL, Julian Neo; serta tiga wakil syarikat Pfizer, Country Manager (Malaysia / Brunei), Luksanawan Thangpaibool; Director Emerging Market Policy and Public Affairs (Malaysia / Brunei / Pakistan), Shamie Zainal dan Pfizer Global Supply Chain Cluster Lead (Singapore / Malaysia / Indonesia), Joyce Hoong.

Menurut Dr Rosman, ATM juga akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi suntikan vaksin kepada anggota pasukan barisan hadapan lain yang bertugas di Op Benteng termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM.

Jelas beliau lagi, program pemberian vaksin untuk keseluruhan warga ATM dijangka selesai dalam Fasa Dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada September ini.

Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasukkan vaksin COVID-19 ke dalam peti sejuk beku khas. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasukkan vaksin COVID-19 ke dalam peti sejuk beku khas. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Difahamkan, 84,240 dos vaksin yang diperuntukkan untuk ATM pada fasa satu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu hanyalah 32 peratus daripada jumlah keseluruhan vaksin yang diperlukan ATM.

Sementara itu, Dr A Halim dalam ucapan, memaklumkan menerusi enam penghantaran pertama untuk tempoh dua bulan ini, sejumlah 10,530 dos bakal diterima untuk semua PSV ATM yang akan diberikan kepada 5,265 penerima kategori kumpulan utama 1 iaitu petugas kesihatan barisan hadapan termasuk kakitangan awam.

"Terdapat lima lagi penghantaran yang bakal diterima secara berperingkat hingga penghujung bulan Mac ini yang mencakupi baki 73,710 dos bersamaan dengan 36,855 penerima kategori kumpulan utama 2 iaitu petugas barisan hadapan merangkumi perkhidmatan penting dan pertahanan.

"Kesimpulannya, jumlah keseluruhan dos yang bakal diterima oleh ATM untuk Fasa 1 adalah sebanyak 84,240 dos bersamaan dengan 42,120 penerima kategori kumpulan utama 1 dan kumpulan utama 2," katanya,

Untuk hari ini, pasukan 93 Depot 93 DPP AT menerima 4,680 dos untuk 2,340 penerima yang akan diagihkan dan diberikan kepada petugas kesihatan ATM terlebih dahulu.

"Seterusnya, 94 HAT Terendak dan 96 HAT Lumut akan menerima penghantaran berikutnya, masing-masing berjumlah 2,340 dos.

"HAT Wilayah Kota Kinabalu ((WKK) akan menerima sebanyak 1,170 dos pada 25 Februari manakala 801 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kuching pula akan menerima sejumlah 7,020 dos pada 8 Mac.

"Penghantaran kedua hingga kelima adalah pada setiap hari Isnin setiap minggu seterusnya bermula 1 Mac hingga 29 Mac depan sebelum kita memasuki Fasa 2 penghantaran," katanya.

Pengagihan vaksin daripada lima PSV ATM kepada 54 buah PPV ATM akan menggunakan aset-aset ATM seperti pesawat logistik TUDM, helikopter dan kenderaan darat sedia ada.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin COVID-19 Angkatan Tentra Malaysia (ATM) Brigadier Jeneral Datuk Dr Rosman Abdul Rahman (kanan) bersama Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brigadier Jeneral Datuk Dr A Halim Basari (dua dari kanan) melihat bekalan vaksin jenis Pfizer BioNTech yang tiba di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) 93 Depot Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Strategik Vaksin COVID-19 Angkatan Tentra Malaysia (ATM) Brigadier Jeneral Datuk Dr Rosman Abdul Rahman (kanan) bersama Pengarah Farmasi Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Brigadier Jeneral Datuk Dr A Halim Basari (dua dari kanan) melihat bekalan vaksin jenis Pfizer BioNTech yang tiba di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) 93 Depot Perubatan dan Pergigian Angkatan Tentera, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X