Isnin, 22 Februari 2021 | 10:18am
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad (kanan) bersama Pengarah JPN Kedah, Rozaini Ahmad (kiri) selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di Alor Setar hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad (kanan) bersama Pengarah JPN Kedah, Rozaini Ahmad (kiri) selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah di Alor Setar hari ini. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Semua calon SPM Kedah bebas COVID-19

ALOR SETAR: Kesemua 29,936 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Kedah disahkan bebas jangkitan COVID-19 sehingga membolehkan mereka menduduki peperiksaan itu di 263 pusat peperiksaan di seluruh negeri bermula pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, berkata sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan SPM kerana dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah dan pihak pengurusan sekolah sentiasa diminta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan peperiksaan berjalan dengan lancar.

"Daripada 29,936, seramai 26,022 adalah calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 1,335 adalah calon sekolah menengah agama rakyat.

"Seramai 931 calon pula di bawah agensi kerajaan iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan sekolah perantis tentera. Seramai 478 calon pula adalah pelajar sekolah menengah agama negeri, 171 calon sekolah swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan baki 999 adalah calon persendirian," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JPN Kedah, Rozaini Ahmad.

Najmi berkata, daripada keseluruhan jumlah calon yang menduduki SPM, 54 daripada mereka adalah golongan kurang upaya (OKU) antaranya masalah pembelajaran, pendengaran, penglihatan (rabun) dan kurang upaya fizikal.

Katanya, seramai 3,305 pegawai dilantik sebagai petugas peperiksaan SPM 2020 di Kedah termasuk 2,362 pengawas.

"Tinjauan saya mendapati semua pelajar dalam keadaan baik dan tiada masalah untuk menjawab peperiksaan.

"Kerajaan negeri juga berharap pihak Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah dan pelajar dapat berusaha lebih gigih supaya dapat melonjakkan negeri Kedah ke kedudukan yang lebih baik dalam bidang pelajaran," katanya.

Berita Harian X