Isnin, 22 Februari 2021 | 9:47am
Pelajar memeriksa suhu badan sebelum memasuki kawasan sekolah bagi menghadapi peperiksaan SPM yang bermula hari ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pelajar memeriksa suhu badan sebelum memasuki kawasan sekolah bagi menghadapi peperiksaan SPM yang bermula hari ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Anggota polis ditempatkan di pusat peperiksaan SPM

PUTRAJAYA: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menempatkan 44 anggota dan pegawainya di 11 sekolah sekitar Putrajaya bagi mengawal pergerakan pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata anggota dan pegawai polis itu ditempatkan di pagar serta dalam sekolah untuk memantau prosedur operasi standard (SOP) di setiap sekolah berkenaan.

Katanya, anggota dan pegawai itu di ditempatkan sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

"Kita menempatkan dua anggota dan pegawai serta Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah dan mereka ini akan menegur sekiranya ada yang tidak mematuhi SOP.

"Setakat tinjauan yang kita buat hari ini, semua sekolah di Putrajaya mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya pengawas peperiksaan memakai alat pelindung muka, pelitup muka serta sarung tangan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata seramai 1,726 calon termasuk calon persendirian menduduki peperiksaan di sekolah sekitar Putrajaya yang berlangsung hari ini sehingga 25 Mac ini.

Berita Harian X