Isnin, 22 Februari 2021 | 9:14am

Calon SPM bersedia duduki peperiksaan walaupun gementar

KOTA BHARU: "Walaupun terpaksa menduduki peperiksaan dalam norma baharu, ia sedikit pun tidak mengganggu emosi dan persediaan saya untuk melakukan yang terbaik," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Nik Nur Ain Nik Mohd Arif, 18.

Nik Nur Ain berkata, meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19, persiapan dan usaha yang dijalankan guru selain sokongan ibu dan ayah menjadikannya lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

"Peperiksaan kali ini amat jauh berbeza berbanding tahun sebelum ini kerana saya dan rakan-rakan yang lain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu harus melakukan saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan.

"Bagaimanapun, saya tetap bersemangat dan akan buat yang terbaik untuk kesemua mata pelajaran yang diambil," katanya ketika ditemui di pekarangan SMK Ismail Petra, di sini, hari ini

Nur Afiqah Azman, 18, berkata, penundaan tarikh SPM 2020 yang sepatutnya diadakan pada Oktober tahun lalu memberi kelebihan kepadanya untuk mengulang kaji pelajaran dan persediaan rapi walaupun terpaksa menduduki peperiksaan itu dalam suasana yang berbeza.

"Disebabkan penularan pandemik COVID-19, sesi persekolahan banyak yang tertangguh dan untuk memanfaatkan masa yang ada saya mengulang kaji pelajaran sendiri selain mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dan pada masa sama tetap berkomunikasi dengan guru bagi bertanyakan tajuk yang kurang difahami.

"Insya-Allah dengan persiapan yang dilakukan ini menjadikan saya lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini dan berharap tidak akan hilang fokus," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kelantan Harun Yusof, berkata seramai 27,719 calon yang menduduki peperiksaan SPM di seluruh negeri yang bermula hari ini.

Beliau berkata, jumlah berkenaan membabitkan calon daripada 243 sekolah di seluruh negeri dan sebanyak 285 pusat peperiksaan.

"Pihak kami berpuas hati dengan persiapan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan mematuhi SOP yang sudah ditetapkan selain dewan dan bilik peperiksaan juga disanitasi.

"Kita berharap kesemua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM kekal berdisiplin serta patuh dengan SOP dalam keadaan suasana norma baharu dengan amalkan penjarakan fizikal, sentiasa mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai pelitup muka," katanya.

Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, Kota Bharu beratur memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, Kota Bharu beratur memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X