Ahad, 21 Februari 2021 | 9:38pm
Sesi persekolahan bagi institusi pendidikan Islam di Johor mula dibuka pada 7 Mac ini. - Foto NSTP
Sesi persekolahan bagi institusi pendidikan Islam di Johor mula dibuka pada 7 Mac ini. - Foto NSTP

Institusi pendidikan Islam di Johor bermula 7 Mac

JOHOR BAHRU: Sesi persekolahan bagi institusi pendidikan Islam di Johor akan mula dibuka mulai 7 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata ia meliputi Tadika Agama Johor, Sekolah Rendah Agama Rakyat dan Swasta, Madrasah Malabar, Institusi Tahfiz Swasta dan Institusi Pondok Swasta.

Katanya, bagaimanapun bagi institusi pendidikan Islam swasta yang masih dalam proses pendaftaran perlu memohon pembukaan sekolah mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Permohonan kebenaran perlu dimajukan kepada Pejabat Pendidikan Islam Daerah dan tertakluk kepada kebenaran beroperasi oleh Pegawai Pendidikan Islam Daerah.

"Institusi pendidikan swasta Islam swasta yang tidak berdaftar adalah tidak dibenarkan beroperasi.

"Sesi persekolahan bagi Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor pula dilaksanakan dua sesi iaitu tahap satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) pada Isnin dan Rabu bermula 8 Mac ini, manakala tahap dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) pada Ahad, Selasa dan Khamis bermula 7 Mac," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tosrin berkata, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor dan Sekolah Menengah Agama Swasta yang berdaftar di negeri itu akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April depan.

"Bagi sesi persekolahan Tingkatan Satu hingga Lima dan murid Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sesi 2021 di Maahad Johor dan Maahad Tahfiz Negeri Johor pula akan bermula pada 11 April depan," katanya.

Berita Harian X