Ahad, 21 Februari 2021 | 3:54pm

Kelas peperiksaan SPM disanitasi

KUALA TERENGGANU: Dua belas kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk dua untuk Calon Keperluan Khas (CBK), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini, siap menjalani proses sanitasi, hari ini.

Proses sanitasi sebagai persediaan calon SPM menduduki peperiksaan esok dilakukan 15 anggota skuad Sabil Kuala Terengganu selama tiga jam mulai 11 pagi tadi.

Selain proses sanitasi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bukit Besar juga menerima mesin dan peralatan penyemburan bahan kimia bernilai RM500.

Pengetua SMK Bukit Besar, Ismail Md Ali, berkata seramai 120 calon SPM 2020 termasuk dua calon yang selesai menjalani rawatan selepas disahkan positif COVID-19, akhir bulan lalu akan menduduki peperiksaan.

Beliau berkata, semua bangunan sekolah termasuk 10 kelas peperiksaan dibenarkan untuk digunakan selepas diarahkan ditutup selama 14 hari mulai akhir bulan lalu untuk proses sanitasi.

"Seramai 20 calon SPM yang terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah juga disahkan negatif COVID-19," katanya.

SMK Bukit Besar adalah sekolah menengah di negeri ini yang diarahkan tutup selama 14 hari mulai akhir bulan lalu selepas seorang guru dan dua pelajar disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani, berkata seramai 18,743, termasuk calon persendirian akan menduduki peperiksaan SPM di 169 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Beliau berkata, semua calon SPM 2020 perlu menjalani ujian suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang berada dalam kawasan sekolah, termasuk di dewan peperiksaan.

"Semua persiapan termasuk tempat mencuci tangan dan cecair pembasmi kuman ditempatkan di setiap pintu masuk dewan peperiksaan.

"Sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), kedudukan meja setiap calon di dalam dewan juga dijarakkan sehingga satu meter," katanya.

Proses sanitasi dilakukan anggota skuad Sabil Kuala Terengganu diketuai pengerusinya, Armi Irzan di semua kelas peperiksaan SPM dan di lokasi tumpuan calon di SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu, hari ini. -Foto NSTP/Baharom Bakar
Proses sanitasi dilakukan anggota skuad Sabil Kuala Terengganu diketuai pengerusinya, Armi Irzan di semua kelas peperiksaan SPM dan di lokasi tumpuan calon di SMK Bukit Besar, Kuala Terengganu, hari ini. -Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X