Ahad, 21 Februari 2021 | 3:36pm
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang

KPM keluarkan garis panduan pengurusan buka semula sekolah, kawalan murid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah, mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek ketika penularan COVID-19 kepada semua sekolah di seluruh negara.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, yang memaklumkan perkara itu, berkata garis panduan itu merangkumi aspek bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan prosedur operasi standard (SOP) ketika pulang.

"Itu adalah SOP komprehensif untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pada tahap tinggi apabila sekolah dibuka. Jika semua aspek dalam garis panduan dipatuhi, sudah pasti ruang untuk penularan jangkitan agak sukar berlaku.

"Ini kerana apabila murid keluar dari pintu pagar sekolah, guru sudah tidak boleh lagi kawal mereka. Guru sudah diberi taklimat oleh pengetua dan guru besar masing-masing.

"Pihak sekolah akan melakukan tindakan berasaskan garis panduan itu selepas pengetua dan guru besar sekolah diberi taklimat mengenainya oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, dalam aspek penjarakan fizikal, guru dan murid agak jelas kerana situasi pada tahun ini tidak sama dengan persekitaran tahun lalu kerana sesi persekolahan ketika itu memberi pengalaman berguna kepada semua guru dalam mengoperasikan sekolah bermula 1 Mac nanti.

Pada masa sama, katanya, agak sukar untuk pihak sekolah melakukan pengawalan terhadap aktiviti dan pergerakan murid di luar pintu pagar sekolah terutama bagi murid yang datang ke sekolah menaiki bas.

"Dalam hal ini, peranan memastikan pematuhan terhadap SOP di luar sekolah bukan saja terletak pada guru, tetapi lebih penting lagi kepada ibu bapa dan penjaga.

"Jadi, ibu bapa diharap dapat memberikan pesanan tanpa jemu kepada anak mereka," katanya.

Mengikut edaran garis panduan berjudul Model Pengawalan Keberadaan Murid Di Pintu Pagar Sekolah yang diteliti BH, ia menyentuh lima mod pergerakan murid datang dan balik dari sekolah iaitu berjalan kaki; berbasikal; kenderaan ibu bapa; menaiki bas atau van serta bermotosikal dan lain lain.

Menurut garis panduan itu, kaedah penjarakan fizikal ini sukar dikawal kerana ia bergantung kepada disiplin dan kemudahan murid itu sendiri.

Dalam garis panduan itu juga menyebut murid perlu terus balik ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

Selain itu, garis panduan itu turut menekankan peranan pentadbir dan guru; murid serta ibu bapa bagi memastikan SOP dipatuhi bermula di sekolah hingga pulang ke rumah.

Terdapat lima model terkandung dalam garis panduan itu iaitu ruang menunggu dalam kawasan sekolah; laluan terarah sehala; kawalan keberadaan murid oleh polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni, Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK), Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KSIB) sukarelawan.

Keempat, penyuraian murid secara berperingkat dan kelima, menunggu di dalam bilik darjah - sistem panggilan.

Berita Harian X