Ahad, 21 Februari 2021 | 2:54pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto BERNAMA

Agong titah Majlis Bandaraya Kuantan tumpu tingkat kesejahteraan rakyat

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuantan menumpukan usaha ke arah peningkatan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat.

Al-Sultan Abdullah bertitah, penubuhan sebuah bandar raya bukanlah semata-mata pada nama, sebaliknya perlu menumpukan usaha ke arah kesejahteraan rakyat.

"Beta menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan keizinannya juga Bandar Kuantan yang juga ibu negeri Pahang Darul Makmur akan dimasyhurkan sebagai sebuah bandar raya.

"Mengikut catatan sejarah, Bandar Kuantan sudah wujud sekitar pertengahan kurun ke-19. Bermula dengan sistem pentadbiran bandar menerusi penubuhan Kuantan Sanitary Board pada 1 Ogos 1913, Bandar Kuantan kini terus melangkah gagah dan bakal mencipta satu lagi sejarah," titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Baginda turut meminta semua rakyat Pahang mendoakan Bandaraya Kuantan menjadi sebuah bandar raya unggul dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.

"Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, beta dengan ini mengisytiharkan Majlis Perbandaran Kuantan hendaklah mulai daripada 21 Februari 2021 bersamaan 9 Rejab 1442 Hijrah, menjadi sebuah bandar raya dan bergelar Majlis Bandaraya Kuantan.

"Beta juga dengan ini melantik Datuk Hamdan Hussin sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan dan juga merasmikan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan," titah baginda.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya akan dapat memberi impak serta kesan besar bukan saja dalam aspek urus tadbir, malah kepada keseluruhan pembangunan daerah itu.

Berita Harian X