Sabtu, 20 Februari 2021 | 4:43pm
 Foto hiasan.
Foto hiasan.

Calon duduki SPM 2020 cipta sejarah tersendiri

KUALA LUMPUR: Seramai 401,105 calon sekolah yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan mencipta sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu bermula di seluruh negara Isnin ini.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima terbabit mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan, namun pembelajaran bersemuka paling singkat - hanya sekitar empat bulan - semuanya gara-gara penularan pandemik COVID-19 yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype.

Mereka juga terpaksa menduduki peperiksaan itu tanpa berpeluang menguji kemampuan diri dalam pelbagai mata pelajaran menerusi peperiksaan percubaan seperti kelaziman.

Bukan sedikit suara yang menggesa agar peperiksaan SPM 2020 ditangguhkan namun ramai juga yang mahu pelajar menduduki peperiksaan itu selepas melakukan persediaan selama 26 bulan (termasuk 12 bulan ketika di Tingkatan Empat), dengan sebahagian calon sudah berusia 18 tahun, iaitu setahun lebih tua berbanding kebiasaan.

Calon-calon SPM ini serta mereka yang mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan menduduki peperiksaan berkenaan di 3,310 pusat peperiksaan dalam persekitaran normal baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Peperiksaan kali ini amat jauh bebeza (berbanding tahun-tahun sudah).

"SOP lebih ketat dan terperinci bagi memastikan anak-anak kita dapat menduduki peperiksaan dalam suasana tenang, selesa dan selamat," kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP ini dipatuhi sepenuhnya.

Semua pelajar perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Persiapan rapi dilakukan bagi memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan terbabit,

Selain dewan utama, turut disediakan bilik alternatif bagi calon yang mungkin menunjukkan simptom COVID-19. Turut disediakan kelas isolasi dan transit.

Sekiranya ada keperluan untuk dewan disanitasikan, calon akan dipindahkan ke bilik darjah yang disediakan bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan lancar.

Peperiksaan SPM, SVM dan STAM diadakan pada November setiap tahun, namun bagi 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa penutupan sekolah.

Pelajar-pelajar ini perlu diberikan masa untuk bersedia menghadapi peperiksaan berkenaan.

Sesi persekolahan 2020 bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam, dibuka semula pada 20 Jan tahun ini, iaitu sebulan sebelum peperiksaan berlangsung. – BERNAMA

Berita Harian X