Sabtu, 20 Februari 2021 | 1:45pm
 Foto hiasan.
Foto hiasan.

Syor PdPR, DidikTV KPM diperkasa walau sekolah dibuka

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pendidikan (KPM) memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) serta DidikTV KPM bagi menyokong usaha mencapai matlamat pendidikan secara menyeluruh.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata biarpun sekolah dibuka, peranan PdPR sebagai penyokong dan pemacu kecemerlangan pembelajaran bersemuka perlu tetap diteruskan.

"Begitu juga dengan DidikTV KPM, perlu terus dilaksanakan operasi dan ditambah baik lagi. Ia juga medium penting untuk sokongan pembelajaran terutama bagi keluarga B40 dan murid di pedalaman yang tercicir," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, NUTP menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan pembukaan sekolah seperti diumum Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin semalam.

"Guru sememangnya sudah lama menunggu pembukaan sekolah kerana mereka menyedari pelbagai masalah dihadapi murid dan ibu bapa sepanjang tempoh penutupan sekolah dan PdPR dilaksanakan.

"Guru juga berhadapan dengan pelbagai permasalahan sepanjang tempoh PdPR dilaksanakan seperti kurang komitmen murid, masalah pemilikan peranti dan capaian internet," katanya.

Sementara itu Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan turut bersependapat dengan NUTP bahawa PdPR wajar diperkasa dan DidikTV KPM perlu menjadi saluran sumber ilmu terbaik untuk anak-anak mendapat akses pendidikan menyeluruh dan berkualiti.

"Contohnya jika dia tidak dapat ke sekolah atau tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, murid boleh mengikuti pembelajaran di saluran televisyen ketika di rumah atau bagi subjek yang ketinggalan.

"Semua pihak kena bersedia dengan apa jua kemungkinan yang berlaku kerana tiada jaminan COVID-19 akan tamat bila. Kita juga perlu bersedia untuk adaptasi pendidikan berorientasikan digital demi kelangsungan masa depan," katanya.

Mengenai pembukaan sekolah, Mohd Azizee berkata, langkah memulakan operasi kepada murid prasekolah dan tahap satu adalah praktikal memandang mereka sukar mengikuti pembelajaran secara dalam talian, ditambah pula ibu bapa yang bekerja dan tidak dapat membantu PdPR.

"Pembukaan ini diharap dapat mengatasi isu keciciran murid daripada mendapat akses pendidikan dan menangani isu literasi dan numerasi. Program Transisi lebih berkesan dijalankan secara bersemuka kerana tidak semua ibu bapa dapat menjadi guru di rumah," katanya.

Dalam pada itu beliau mencadangkan suntikan vaksin diberi kepada guru dengan kadar segera demi mengelak jangkitan virus dan menjamin keselamatan serta kesihatan dalam menjalankan tugas sebagai pendidik.

Berita Harian X