Jumaat, 19 Februari 2021 | 6:34pm
Keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Sarawak, hari ini. - NSTP/MOHD ROJI KAWI
Keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Sarawak, hari ini. - NSTP/MOHD ROJI KAWI

Sarawak dilanda gelombang keempat banjir tahun ini

KUCHING: Seramai 755 mangsa banjir daripada 211 keluarga terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air, hari ini.

Semua mangsa banjir itu ditempatkan di sembilan PPS sekitar daerah Kuching, Lundu dan Samarahan.

Keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Sarawak, hari ini. - NSTP/MOHD ROJI KAWI
Keadaan banjir yang melanda beberapa daerah di Sarawak, hari ini. - NSTP/MOHD ROJI KAWI

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata Kuching mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir kali ini membabitkan 421 orang (124 keluarga).

"Seramai 280 mangsa terbabit (68 keluarga) ditempatkan di PPS Dewan Sinar Budi Baru, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah (85 mangsa, 28 keluarga) dan Dewan Masyarakat Stapok (56 mangsa, 28 keluarga)," katanya dalam satu kenyataan.

Di daerah Lundu pula, beliau berkata, 99 mangsa banjir (24 keluarga) ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Paon, Sematan.

Katanya, Lima PPS dibuka di daerah Samarahan, iaitu Balai Raya Kampung Sungai Empit yang menempatkan 35 mangsa banjir (tujuh keluarga) dan Dewan Suarah Kora Samarahan (31 mangsa, sembilan keluarga).

Selain itu, Dewan Masyarakat Kampung Pengkalan Kuap (152 mangsa, 38 keluarga), Surau Kampung Bukit Berangan (enam mangsa, dua keluarga) dan Balai Raya Kampung Merdang Lumut (11 mangsa, tujuh keluarga).

Sementara itu mangsa banjir di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa, Mohd Hatta Habuni, 31, berkata air naik dengan cepat pada awal pagi selepas hujan lebat berterusan sejak jam 7 malam tadi.

Beliau berkata, air mula memasuki rumahnya dari bahagian dapur kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

"Ketika itu, saya hanya memikirkan keselamatan dua anak yang masing-masing berusia sembilan tahun dan lapan bulan.

"Air naik dengan cepat menyebabkan kami sekeluarga terperangkap di dalam rumah sehinggalah pasukan penyelamat tiba dan membawa ke PPS dengan menaiki bot kira-kira jam 9 pagi," katanya.

Banjir hari ini adalah gelombang keempat yang melanda beberapa daerah di Sarawak dalam tempoh lebih sebulan.

Gelombang pertama banjir di Sarawak, tahun ini, melanda pada 13 Januari lalu, diikuti 30 Januari (kedua) dan 3 Februari (ketiga).

Berita Harian X