Jumaat, 19 Februari 2021 | 6:09pm
 Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.- Foto fail NSTP
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.- Foto fail NSTP

Ganti paip lama di Kelantan perlu kerjasama syarikat berkelayakan

KUALA LUMPUR: Kerjasama daripada syarikat berkelayakan diperlukan bagi melaksanakan projek penggantian paip lama dan usang di seluruh Kelantan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, kerjasama itu bagi menjayakan perancangan kerajaan negeri menyelesaikan isu gangguan bekalan air, kualiti air dan tekanan air rendah yang dihadapi rakyat Kelantan sejak puluhan tahun lalu.

"Saya dapati punca berlakunya masalah ini kerana keadaan paip sedia ada yang terlalu lama iaitu berusia lebih 40 tahun.

"Ia perlu diganti walaupun memerlukan kos yang besar. Ini kerana apabila berlaku kebocoran, jika dibaiki pam atau loji pembersihan sekalipun, ini tidak bermakna jika paip lama tidak diganti," katanya pada siaran langsung di Faceebook bagi episod pertama 'Green Talk' bertajuk Kehidupan Lestari Adalah Komitmen Seluruh Rakyat Malaysia terbitan Malaysian Green Technologi and Climate Change Centre (MGTC), hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, projek penggantian paip lama itu termasuk dalam perancangan membabitkan peruntukan RM1.7 bilion yang dimohon kerajaan negeri melalui geran daripada Kerajaan Pusat.

"Saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap beliau dapat mempertimbang permohonan itu," katanya.

Untuk rekod, kira-kira 4,000 kilometer (km) daripada lebih 8,000km paip air di Kelantan adalah paip lama yang perlu ditukar kerana berdepan risiko mudah bocor.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata pihaknya dalam perancangan memperluas Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai alternatif bagi sumber air mentah jika terdapat gangguan pada saluran utama sungai.

Beliau berkata, ketika ini TAPS hanya dibangunkan di Selangor. – BERNAMA

Berita Harian X