Jumaat, 19 Februari 2021 | 5:17pm

Sekolah dibuka mulai 1 Mac

KUALA LUMPUR: Sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.

Kumpulan yang akan mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.

Pelajar kolej vokasional bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua akan hadir ke institusi masing-masing pada 1 Mac ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bagi sekolah swasta, ia secara umumnya mengikut jadual sekolah kerajaan sama ada bagi sekolah rendah dan menengah.

"Bagi sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan SPM dan peperiksaan umum, termasuk pusat tuisyen boleh mula dibuka pada 8 Mac ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bagi pelajar sekolah menengah, mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April ini bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi sekolah di negeri lain pada 5 April.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media khas berhubung pembukaan semula sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada sidang media khas berhubung pembukaan semula sekolah.

Sekolah menengah memulakan persekolahan lebih lewat untuk memberi laluan kepada pelajar Tingkatan Lima kohort 2020 yang menduduki SPM bermula Isnin ini.

"Semua murid sekolah menengah akan kembali semula ke sekolah selepas tamat cuti pertengahan penggal.

"Peperiksaan SPM akan berakhir pada hujung Mac dan cuti pertengahan penggal adalah antara 26 atau 27 Mac sehingga 3 hingga 4 April," katanya.

Radzi berkata, murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua hadir ke sekolah lebih awal berbanding yang lain bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, seperti murid Tahun Satu yang baru masuk ke sekolah.

"Ini akan memberi ruang untuk guru membiasakan anak-anak ini dengan SOP baharu di sekolah dan guru bersama ibu bapa mencari kaedah terbaik berkaitan penyuraian pada akhir persekolahan," katanya.

Sementara itu, Radzi berkata, murid Kolej Vokasional bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua akan hadir ke institusi masing-masing pada 1 Mac ini.

Bagi sekolah swasta, ia secara umumnya mengikut jadual sekolah kerajaan sama ada bagi sekolah rendah dan sekolah menengah.

"Bagi sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan SPM dan peperiksaan umum, termasuk pusat tuisyen boleh mula dibuka pada 8 Mac ini," katanya.

Berita Harian X