Jumaat, 19 Februari 2021 | 10:19am
Calon peperiksaan, ibu bapa perlu yakin kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan dan agensi berwajib sudah melaksanakan tanggungjawab yang baik demi kesejahteraan semua pihak. - Foto NSTP
Calon peperiksaan, ibu bapa perlu yakin kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan dan agensi berwajib sudah melaksanakan tanggungjawab yang baik demi kesejahteraan semua pihak. - Foto NSTP

Tidak perlu bimbang keselamatan calon peperiksaan

KUALA LUMPUR: Semua pihak tidak perlu bimbang mengenai keselamatan lebih 400,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang akan mula menduduki peperiksaan itu Isnin depan.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, berkata calon peperiksaan dan ibu bapa perlu yakin kerajaan menerusi kementerian dan agensi berwajib sudah melaksanakan tanggungjawab yang baik demi kesejahteraan semua pihak.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu memberi motivasi dan doa yang berterusan kepada calon yang bakal menduduki peperiksaan dalam keadaan mencabar.

"Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mendoakan selamat maju jaya kepada lebih 400,000 calon peperiksaan SPM, SVM dan STAM 2020 yang akan menduduki peperiksaan itu, berada dalam suasana kesejahteraan yang selamat, kondusif dan terjamin mengikut prosedur operasi standard (SOP) bermula 22 Februari 2021 di seluruh negara.

"Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengambil maklum SOP peperiksaan SPM, SVM dan STAM yang diperkenalkan dalam suasana norma baharu akan memastikan setiap calon tidak akan tercicir menduduki peperiksaan awam itu.

"Kesejahteraan kesihatan awam pelajar serta pengawas peperiksaan pasti dipantau secara rapi dari semasa ke semasa, termasuk pihak berwajib sentiasa bersiap siaga menangani pandemik itu andainya berlaku penularan mendadak kes COVID-19.

"Semoga peperiksaan SPM, SVM dan STAM dapat berjalan lancar seperti dirancang demi memastikan kesejahteraan anak-anak kita terus terjamin untuk masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada November tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pindaan tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM kepada 22 Februari ini, manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dianjak ke 8 Mac depan.

Bulan lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama bagi tahun 2020 dan 2021 dibenarkan mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 20 Januari lalu.

Mereka yang perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka ialah calon peperiksaan SPM, SVM, STAM, STPM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

Sesi persekolahan secara bersemuka itu kemudian ditamatkan lebih awal pada 9 Februari lalu bagi memberi ruang kepada calon membuat persediaan kendiri, sebelum peperiksaan bermula pada Isnin.

Berita Harian X