Khamis, 18 Februari 2021 | 3:17pm
Persampelan bagi ujian COVID-19 di Malaysia ketika ini menggunakan cara calitan tekak dan hidung. -Foto NSTP
Persampelan bagi ujian COVID-19 di Malaysia ketika ini menggunakan cara calitan tekak dan hidung. -Foto NSTP

KKM akan mulakan kaedah persampelan guna air liur

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan persampelan menggunakan air liur dan kahak dalaman (deep throat saliva) di peringkat hospitalnya dalam masa terdekat, sebelum ia diperkembangkan ke fasiliti kesihatan yang lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata penggunaan persampelan menggunakan air liur itu adalah satu alternatif kepada pengumpulan sampel melalui cara calitan di tekak dan hidung (nasopharyngeal dan oropharyngeal) yang digunapakai ketika ini.

Beliau berkata, persampelan itu adalah lebih selamat dan tidak invasif berbanding cara calitan tekak dan hidung, selain akan mempercepat serta meningkatkan saringan COVID-19

"KKM akan memulakan persampelan bagi ujian COVID-19 dengan menggunakan air liur (deep throat saliva) bagi membantu negara untuk memerangi pandemik COVID-19 yang sedang berlaku pada ketika ini.

"Kaedah ini juga bersifat "self -collected" (dikumpul sendiri) dan akan menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE)," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Adham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah menjalankan penilaian bagi kaedah persampelan menggunakan air liur itu dan ia sesuai bagi ujian RT-PCR COVID 19.

Katanya, ketika ini, IMR sedang melengkapkan kajian penggunaan sampel air liur untuk ujian RTK-Antigen.

Beliau berkata, persampelan bagi ujian COVID-19 dengan menggunakan air liur sudah dijalankan di beberapa negara, bahkan ia lebih murah dan antara kaedah mengumpul sampel paling konsisten.

Selain itu, Dr Adham turut memaklumkan penilaian IMR mendapati kaedah persampelan air liur itu memberi keputusan sebanyak 100 peratus ketepatan dan 96.67 peratus untuk sensitiviti.

Pada 5 Februari lalu, BH melaporkan Ketua Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, IMR, Dr T Ravindran, berkata sedang mengkaji sampel alternatif untuk RTK-Antigen.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuat pemantauan terhadap penggunaan air liur pada awal pagi dan kahak dalaman sebagai sampel alternatif untuk ujian RT-PCR.

Berita Harian X