Khamis, 18 Februari 2021 | 2:06pm
Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah meninggalkan mahkamah selepas hakim memutuskannya untuk membela diri atas dakwaan rasuah projek solar di Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah meninggalkan mahkamah selepas hakim memutuskannya untuk membela diri atas dakwaan rasuah projek solar di Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Rosmah akan beri keterangan dari kandang saksi

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor akan memberi keterangan dari kandang saksi pada perbicaraan bela diri yang dihadapinya, membabitkan projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, di sini, hari ini, memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri itu membela diri, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula kira-kira jam 9.45 pagi, Datuk Seri Najib Razak dilihat memasuki kamar mahkamah, bagi menemani isterinya dan mengikuti keputusan kes berkenaan.

Mohamed Zaini dalam penghakimannya, berkata pihak pendakwaan berjaya mengemuka bukti 'credible' untuk membuktikan semua elemen bagi ketiga-tiga pertuduhan.

"Sehubungan itu, mahkamah memanggil tertuduh untuk membela diri," katanya.

Rosmah kemudian diberi tiga pilihan, iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan dari kandang tertuduh atau berdiam diri.

Ketika diminta memberi jawapan, Rosmah menjawab: "Saya ingin berbincang dengan peguam saya".

Sejurus selepas itu, Rosmah memberitahu mahkamah beliau akan memberi keterangan dari kandang saksi.

Peguam Datuk Jagjit Singh, memberitahu mahkamah pihaknya akan memanggil seramai lima atau enam saksi bagi memberi keterangan yang akan berlangsung selama enam hingga tujuh hari.

Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram turut memaklumkan pihak pendakwaan turut menawarkan beberapa saksi kepada pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan sembilan hari bermula 9 Jun ini untuk perbicaraan kes.

Mahkamah turut menetapkan perbicaraan pada 10, 15, 16, 17, 22, 23 Jun serta 12, 15 Julai ini.

Sementara itu, Jagjit ketika ditemui media di luar mahkamah memberitahu pihaknya mungkin akan memanggil Najib bagi memberi keterangan.

Peguam bela Jagjit (kiri) berkata pihak pembelaan mungkin memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai saksi dalam perbicaraan Jun ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Peguam bela Jagjit (kiri) berkata pihak pembelaan mungkin memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai saksi dalam perbicaraan Jun ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel, bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion, daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

Pada 15 November 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin. menerusi bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu.

Berita Harian X