X
Khamis, 18 Februari 2021 | 12:41pm
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang. Foto fail NSTP
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang. Foto fail NSTP

Dapatkan maklum balas guru tambah baik DidikTV KPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mendapatkan maklum balas daripada guru di peringkat akar umbi bagi sebarang penambahbaikan untuk memantapkan DidikTV KPM.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata ia termasuk menambah jumlah masa sesi pengajaran khusus untuk mata pelajaran tertentu merangkumi semua peringkat dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.

Ini kerana daripada penelitian kepada jadual, beliau berkata, pihaknya mendapati program yang berkait secara langsung dengan mata pelajaran hanya 40 peratus daripada keseluruhan 17 jam iaitu dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam sehari.

"Selebihnya ialah rancangan yang berbentuk antaranya bual bicara dan buletin didik... jadi boleh ditambah dari masa ke sesi pengajaran khusus.

"Kita sedia maklum kandungan DidikTV KPM ini merangkumi aspek kurikulum dan kokurikulum, berita dunia pendidikan, program berbentuk didik hibur serta program yang memberikan fokus kepada pembentukan nilai dan pembangunan karektor murid.

"Namun, ketika ini guru dan murid lebih memerlukan kandungan program yang bercorak pengajaran guru bagi mata pelajaran tertentu bagi pelajar sekolah kebangsaan dan menengah," katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, DidikTV KPM adalah saluran yang berguna dan sememangnya mampu menjadi penyokong kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada murid kurang berkemampuan dan berada di kawasan pedalaman.

Katanya, ia juga mampu menjadi sumber tambahan kepada pelajar yang sedia ada kemudahan mengikuti PdPR dan berharap ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan murid.

"Seperti kita sedia maklum, PdPR sebelum ini banyak menimbulkan masalah kepada murid yang tiada kemudahan dalam aspek pemilikan peranti dan capaian internet.

"Walaupun ada pilihan untuk PdPR secara 'offline' melalui agihan modul pembelajaran secara fizikal, namun ia tidak memberikan impak positif yang besar. Justeru, pihak NUTP amat menyokong dan mengalu-alukan DidikTV ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengharapkan supaya lebih banyak kandungan yang boleh digunakan secara tersurat untuk pelbagai mata pelajaran di peringkat semua pelajar dapat diberikan perhatian serius oleh pihak kementerian.

Berita Harian X