Khamis, 18 Februari 2021 | 9:36am
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi Keputusan akhir pendakwaan kes atas tuduhan rasuah projek solar di Sarawak. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi Keputusan akhir pendakwaan kes atas tuduhan rasuah projek solar di Sarawak. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Rosmah tiba di mahkamah

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Beliau tiba kira-kira jam 9.15 pagi menaiki kenderaan Proton Perdana berwarna hitam.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini akan memutuskan sama ada Rosmah perlu membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, atau membebaskannya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dijangka memberikan penghakimannya pada jam 9.30 pagi terhadap tertuduh.

Rosmah berdepan satu tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel, bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion, daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah kepuasan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.

Terdahulu, kira-kira 50 wakil media tempatan dan antarabangsa berhimpun di lobi kompleks mahkamah menantikan kehadiran Rosmah sebelum mengikuti keputusan kes berkenaan.

Wakil media mula berkumpul sejak jam 7.30 pagi tadi.

Berita Harian X