Khamis, 18 Februari 2021 | 9:03am
NAJMEE Ar' Raushan Hairom (kanan) bersama Hani Ummairah dan Naz Izuddin Ibrahim menonton DidikTV KPM di kediaman mereka di Kampung Lok Bonu, Putatan. NSTP/Malai Rosmah Tuah/BH
NAJMEE Ar' Raushan Hairom (kanan) bersama Hani Ummairah dan Naz Izuddin Ibrahim menonton DidikTV KPM di kediaman mereka di Kampung Lok Bonu, Putatan. NSTP/Malai Rosmah Tuah/BH

DidikTV KPM permudah pembelajaran

KUALA LUMPUR: Pengenalan saluran DidikTV KPM dilihat memberi peluang luas kepada pelajar B40 mengikuti pelajaran secara lebih selesa dan memudahkan pemahaman terhadap subjek sukar.

Bagi mereka, belajar di hadapan kaca televisyen menerusi penerangan guru adalah pendekatan paling hampir seperti berada di dalam kelas secara bersemuka.

Di Johor Bahru , pelajar B40 yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Sri Stulang di sini, berharap pengisian lebih santai dan penggunaan elemen kreatif dijadikan pendekatan bagi membantu mereka memahami subjek sukar.

Sebelum ini, Dania Umairah Ahmad Kamal Ariffin, 16, terpaksa berkongsi telefon bimbit bersama dua adik lelakinya yang belajar di Tingkatan Satu dan Darjah Satu bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Sukar sebenarnya mengikuti PdPR menerusi telefon bimbit kerana skrin kecil menyebabkan pemahaman terhadap subjek sukar kadang-kadang tidak kesampaian.

"Ada masanya talian internet tidak stabil menyebabkan saya dan adik lelaki ketinggalan mengikuti topik diajar guru.

"DidikTV KPM medium bagus bagi pelajar kurang mampu seperti kami untuk belajar dan memahami sesuatu subjek sukar dengan lebih jelas dan selesa, rasa macam sudah balik ke kelas," katanya ketika ditemui, semalam.

Rakannya, Nur Ellyana Natasha Abdullah, 16, berharap lebih banyak kandungan disediakan membabitkan subjek Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Bahasa Melayu.

BIHUB Illah Jefri (dua dari kanan) bersama rakan mengulang kaji pelajaran serta mengikuti sesi pembelajaran menerusi DidikTV KPM di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
BIHUB Illah Jefri (dua dari kanan) bersama rakan mengulang kaji pelajaran serta mengikuti sesi pembelajaran menerusi DidikTV KPM di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SITI Nur Kamaliah Abu Bakar menonton DidikTV KPM sambil mengulangkaji
SITI Nur Kamaliah Abu Bakar menonton DidikTV KPM sambil mengulangkaji

"Jika di kelas, saya akan lebih faham kerana banyak ruang bertanya soalan berbanding kelas menerusi PdPR.

"Namun apabila saya menonton DidikTV KPM tadi (semalam), berasa seronok pula apabila subjek untuk SPM menggunakan elemen santai dan penjelasan mudah," katanya.

Sementara itu, ibu Dania Umairah, Norliana Tajudin, 40, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berharap DidikTV KPM akan dijadikan antara medium utama dalam proses PdPR.

Katanya, kalangan B40 seperti beliau yang tidak berkemampuan membeli telefon bimbit untuk setiap anak bersekolah dan komputer riba perlu mengambil peluang belajar menerusi saluran itu.

"Kandungan DidikTV KPM diharap lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu pada pelajar SPM selain ada baiknya jika jadual subjek dikongsi di laman sosial supaya mudah diteliti," katanya.

Di Sik , golongan sasar utama inisiatif saluran DidikTV KPM melihat pendekatan itu sebagai usaha positif yang banyak memanfaatkan murid di luar bandar.

Murid Tahun Empat, Nur Syifa Qalesya Suhaimi, 10, dan rakannya, Nurul Hawani Muhd Nazri, 10, menganggap pengisian DIDIK TV KPM lebih ceria dan menyegarkan serta menarik minat mereka untuk menonton.

Nur Syifa berkata, pengisian setiap rancangan pendidikan lebih santai, tetapi padat dan mampu memberi pendedahan kepada murid.

Muhammad Afif Darwish (kiri) bersama abangnya, Muhammad Alif Daniel menonton DidikTV KPM di Putrajaya. Foto BERNAMA
Muhammad Afif Darwish (kiri) bersama abangnya, Muhammad Alif Daniel menonton DidikTV KPM di Putrajaya. Foto BERNAMA

NUR Syifa Qalesya (kiri) bersama rakan menonton DidikTV KPM di rumah mereka di Sik, Kedah, semalam. NSTP/Noorazura Abdul Rahman/BH
NUR Syifa Qalesya (kiri) bersama rakan menonton DidikTV KPM di rumah mereka di Sik, Kedah, semalam. NSTP/Noorazura Abdul Rahman/BH

"Hari ini (semalam) saya dapat mengulang kaji mata pelajaran Sains Tahap Satu mengenai makanan seimbang.

"Tahun lalu saya cuma belajar di rumah dengan buat latihan dan penerangan dalam talian, tetapi hari ini saya dapat melihat guru di skrin yang lebih besar.

"Kita perlu makan suku, suku, separuh iaitu suku nasi, suku lauk dan separuh sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Ada video kartun yang ditunjukkan juga menarik dan memudahkan saya untuk faham," katanya yang tinggal di Kampung Lubuk Tualang di sini.

Nurul Hawani mengakui seronok melihat penampilan Sissy Iman sebagai pengacara yang menceriakan suasana pembelajaran.

"Cikgu juga nampak ceria ketika mengajar Sains hari ini (semalam), cikgu ajar pentingnya kita ambil sarapan untuk sihat dan bertenaga seharian.

"Saya faham dengan mudah dan cepat sebab cikgu mengajar pun jelas, saya sekarang tahu bezakan makanan yang tinggi kalori dan tidak boleh diambil setiap hari seperti burger dan kek," katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir di sini.

Di Kuching , DidikTV KPM disifatkan sebagai jawapan kepada ramai pelajar yang menghadapi kesukaran untuk pembelajaran secara bersemuka.

Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, Alif Syazwan Ismawi, 20, berkata saluran itu dipenuhi pengisian untuk mendorong pelajar mengikuti pembelajaran ketika tidak dapat pergi ke sekolah.

"Ia amat bermanfaat bagi pelajar yang tiada akses internet untuk mengikuti PdPR. Mereka hanya perlu menonton program itu bagi mendapatkan input berguna dalam pembelajaran," katanya.

Rakannya, Nur Hazwani Mostapha, 20, berkata DidikTV KPM adalah satu daripada penyelesaian tuntas ke arah membantu meringankan beban ibu bapa membeli data telekomunikasi anak.

"Ketika ini, hampir semua rumah memiliki televisyen dan DidikTV KPM memberi kemudahan untuk anak mengikuti pembelajaran," katanya.

DidikTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Berita Harian X