Rabu, 17 Februari 2021 | 6:12pm
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab (kiri) melakukan siasatan dan mengambil sampel air di beberapa lokasi Sungai Perai pada 10 Februari lalu, susulan penemuan ribuan ikan mati yang terapung dalam Sungai Perai. - Foto fail NSTP/Danial Saad
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab (kiri) melakukan siasatan dan mengambil sampel air di beberapa lokasi Sungai Perai pada 10 Februari lalu, susulan penemuan ribuan ikan mati yang terapung dalam Sungai Perai. - Foto fail NSTP/Danial Saad

Kilang makanan sebabkan pencemaran Sungai Perai dikompaun RM18,000

BUTTERWORTH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun RM18,000 terhadap sebuah kilang berasaskan produk makanan, di sini kerana menjadi punca pencemaran air sehingga menyebabkan ribuan ikan mati di Sungai Perai, Selasa minggu lalu.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata pihaknya turut mengeluarkan arahan terhadap kilang terbabit supaya menghentikan serta merta pelepasan sisa efluen ke Sungai Perai.

"JAS sebelum ini menyiasat aduan mengenai pencemaran air dan kes ikan mati di Sungai Perai yang disyaki berpunca dari sebuah kilang berasaskan makanan di sini. Maklumat awal yang diterima daripada orang awam mendakwa keadaan Sungai Perai adalah tercemar dengan buih berwarna putih.

"Siasatan lanjut yang dijalankan JAS mendapati ia berpunca daripada proses pembuatan serta aktiviti cucian dari salah satu kilang yang mana kita mengeluarkan kompaun ke atas premis terbabit termasuk memberi arahan supaya menghentikan pelepasan berkenaan serta merta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, tindakan kompaun itu diambil di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"JAS negeri juga mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya pihak kilang mengambil langkah kawalan bagi mengelakkan efluen tidak terolah daripada dilepaskan ke Sungai Perai sebelum boleh beroperasi semula.

"Pada masa sama, JAS akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan Sungai Perai supaya tidak berlaku lagi insiden seperti ini," katanya.

Dalam kejadian Selasa minggu lalu, ribuan ikan di Sungai Perai dilaporkan mati selepas air pasang dan kejadian itu disedari penduduk Taman Kimsar berhampiran sebelum memaklumkan kepada Ahli Majlis MBSP, David Marshel yang kemudian membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang melahirkan kebimbangan memandangkan ia membabitkan sumber makanan masyarakat negara ini.

Berita Harian X