Rabu, 17 Februari 2021 | 8:44am
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Saluran DidikTV KPM.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Saluran DidikTV KPM.

DidikTV KPM bantu PdPR - PM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin saluran DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) dapat membantu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), khususnya murid yang tiada akses kepada pendidikan secara dalam talian.

Perdana Menteri berkata, ibu bapa turut boleh meluangkan masa menonton saluran terbabit bersama anak mereka.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program berteraskan kurikulum serta kokurikulum KPM, dan saluran ini juga menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan dari peringkat prasekolah hingga Tingkatan Enam.

"Ini termasuk program bercorak didik hibur serta kandungan yang dihasilkan oleh murid," katanya ketika berucap menyempurnakan pelancaran DidikTV KPM, hari ini.

Muhyiddin berkata, kaedah PdPR secara dalam talian belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai, selain faktor kekangan akses kepada internet.

"Kerajaan sedar murid-murid terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar ataupun kawasan pedalaman.

"Oleh yang demikian, kita perlu terima hakikat pelaksanaan PdPR secara dalam talian belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat," katanya.

Pelancaran DidikTV KPM membantu pelaksanaan PdPR. - Foto BERNAMA
Pelancaran DidikTV KPM membantu pelaksanaan PdPR. - Foto BERNAMA

Justeru, beliau berharap saluran DidikTV KPM yang mula bersiaran hari ini akan menjadi platform memperkasakan budaya ilmu.

Perdana Menteri berkata, DidikTV KPM yang bersiaran menerusi saluran ntv7 itu diharap dapat menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

"Segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.

"Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara," katanya.

DidikTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Berita Harian X