Selasa, 16 Februari 2021 | 8:37pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Analisis sampel RTK-Antigen, RT-PCR ikut tanda aras WHO - Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA: Analisis terhadap sampel ujian RTK-Antigen dan RT-PCR dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) masih mengikut tanda aras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), biarpun berdepan dengan perayaan Tahun Baharu China minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun tanda aras analisis ditetapkan ialah antara 10 hingga 30 kes negatif bagi setiap kes positif, ujian yang dijalankan KKM semalam ialah 20 kes negatif bagi setiap kes positif.

Beliau berkata, ia berikutan sebanyak 41,895 ujian RT-PCR dan RTK-Antigen dijalankan semalam dengan 2,176 kes didapati positif.

"Tanda aras kita adalah setiap kes yang positif kita perlukan sekurang-kurangnya 10 kes yang negatif jadi kalau kita laporkan sejumlah 2,176 kes positif COVID-19 semalam sepatutnya tanda aras kita 21,760 kes tapi semalam kita berjaya jalankan 41,895 ujian RT-PCR dan RTK-Antigen," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini ada 23 makmal swasta dan 13 makmal di universiti yang menjalankan analisis sampel ujian.

Bagaimanapun, katanya, pada musim perayaan ada kemungkinan kemudahan itu tidak mempunyai sumber manusia mencukupi untuk menjalankan analisis terhadap ujian COVID-19 selain kurang individu yang menjalani ujian itu.

Berita Harian X