Selasa, 16 Februari 2021 | 10:56am
 Satu daripada empat bunga rafflesia yang ditemui di Hutan Simpan Tembak, Jenagor. - Foto ihsan Zawawi
Satu daripada empat bunga rafflesia yang ditemui di Hutan Simpan Tembak, Jenagor. - Foto ihsan Zawawi

Bunga rafflesia tarikan pelancongan terbaru Jenagor

HULU TERENGGANU: Usaha seorang warga emas menjejaki bunga pakma atau dikenali sebagai bunga rafflesia di Hutan Simpan Tembak, Jenagor, berhasil apabila berjaya menemui empat bunga terbesar di dunia spesies 'Rafflesia Cantleyi' itu di hutan berkenaan.

Zawawi Lah, 62, dari Kampung Beladau Kepong, berkata dia mengetahui kewujudan bunga rafflesia itu daripada penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua.

"Bagi mengesahkan penemuan itu, saya dibantu penduduk Orang Asli memasuki kawasan hutan yang didakwa ada bunga rafflesia itu.

"Melalui kebenaran dan permit diberikan Jabatan Perhutanan Hulu Terengganu, proses mencari bunga rafflesia itu menjadi semakin lancar dan mudah.

"Bunga itu ditemui secara berperingkat sejak Oktober tahun lalu dan sekarang semua bunga itu berkembang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zawawi berkata, bunga rafflesia paling besar ditemui bersaiz sebuah kereta kancil di kawasan berkenaan.

"Malangnya, bunga rafflesia terbesar itu sudah mati ketika ditemui kerana ia hanya kembang dalam masa tujuh hari saja dan sukar ditemui kerana tumbuh di kawasan tinggi.

"Selepas menemui lokasi bunga rafflesia itu, saya bersama penggiat aktiviti pendakian tempatan iaitu Hulu Terengganu Hikers mengambil tanggungjawab secara sukarela untuk sentiasa memantau bunga berkenaan.

"Sehingga kini, lebih 50 penggemar aktiviti lasak dan mendaki dibawa ke lokasi itu sejak tahun lalu untuk melihat sendiri bunga rafflesia berkenaan," katanya.

Zawawi berkata, dia berharap semua pihak termasuk Jabatan Perhutanan negeri memainkan peranan bagi melindungi bunga rafflesia yang tumbuh secara semula jadi di hutan berkenaan.

"Jika sebelum ini, bunga rafflesia hanya terkenal di Sabah dan Sarawak, tetapi kini turut ditemui di Terengganu. Jadi, wajar jika bunga itu dijadikan tarikan pelancongan terbaru di negeri ini.

"Saya yakin, bukan hanya di kawasan itu saja bunga rafflesia hidup subur, tetapi turut hidup di kawasan lain di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu menggunakan khidmat juru pandu dalam kalangan Orang Asli untuk melihat bunga rafflesia yang lokasinya lebih satu jam perjalanan dalam hutan itu.

"Kawasan itu hutan simpan di bawah kawalan Jabatan Perhutanan negeri, jadi perlu memohon permit khas sebelum memasukinya," katanya.

Berita Harian X