Selasa, 16 Februari 2021 | 10:43am

Vaksin pertama tiba Ahad ini

PUTRAJAYA: Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech Ahad ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, setibanya vaksin, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi fasa pertama akan bermula pada 26 Februari.

"Fasa pertama akan membabitkan saya sendiri bersama petugas barisan hadapan bermula hari berkenaan sehingga April.

"Saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan," katanya ketika berucap melancarkan buku panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, hari ini.

Katanya, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.

"Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala fasa ketiga akan membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari 2022," katanya.

Beliau berkata, program imunisasi menyeluruh untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19.

"Vaksinasi penting untuk kita melindungi bukan saja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.

"Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua," katanya.

Vaksin COVID-19 keluaran Pfizer/BioNTech tiba di Malaysia, Ahad ini. Foto AFP
Vaksin COVID-19 keluaran Pfizer/BioNTech tiba di Malaysia, Ahad ini. Foto AFP
Berita Harian X