Isnin, 15 Februari 2021 | 8:50pm

COVID-19: Kes di Sabah terus menurun, dua digit hari ini

KOTA KINABALU: Kes positif COVID-19 di Sabah hari ini semakin menurun dan mencecah dua digit apabila sebanyak 97 kes dicatatkan setakat tengah hari tadi.

Namun demikian, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, mengingatkan bahawa walaupun jumlah kes COVID-19 di Sabah menurun, tidak bermakna jangkitan tidak berlaku khususnya ketika musim perayaan.

"Kita akan hanya lihat keputusannya selepas seminggu dari sekarang. Jika tiada peningkatan signifikan kes, ini bermakna kita telah melakukan tanggungjawab kita dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kes COVID-19 hari ini adalah paling rendah jika dibandingkan beberapa bulan lalu. Walaupun ini tanda trend kes menurun dan stabil, saya menggesa semua rakyat di Sabah untuk terus mematuhi SOP.

"Hanya dengan ini kita benar-benar dapat mengekalkan trend penurunan ini. Kita tidak boleh leka dengan angka kecil ini kerana ia boleh bertambah semula jika kita lalai," katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. - Foto fail NSTP
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. - Foto fail NSTP

Mengulas kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan di Sabah berikutan penurunan kes baharu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan itu.

"Walaupun kini kes baharu di Sabah dilihat semakin stabil, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan," katanya.

Mengenai program suntikan vaksin COVID-19, Masidi menjelaskan kerajaan negeri menyasarkan sekitar tiga juta penduduk Sabah akan menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Berita Harian X