Isnin, 15 Februari 2021 | 11:10am
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norlin Jaafar. - Foto fail NSTP
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Norlin Jaafar. - Foto fail NSTP

Semua pihak terbabit pencemaran di Semenyih akan didakwa

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memastikan semua pihak yang terbabit dalam aktiviti pencemaran air akibat aktiviti peleburan besi secara haram oleh sebuah premis berhampiran Kawasan Perindustrian Hi-Tech, Semenyih, dihadapkan ke muka pengadilan.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, berkata tiada pihak akan dilepaskan jika didapati terbabit dalam kegiatan itu, sama ada pemilik tanah, operator premis, syarikat pengangkut dan kilang yang menghasilkan sisa besi berkenaan.

Katanya, alasan pemilik tanah mendakwa tidak maklum dengan kegiatan peleburan besi haram itu kerana hanya menyewakannya kepada operator, tidak akan melindunginya daripada dikenakan tindakan.

"Pemilik tanah tidak terlepas daripada disabitkan kesalahan, begitu juga dengan pihak lain yang terbabit seperti operator, syarikat pengangkut dan kilang yang menghasilkan sisa besi itu sendiri.

"Operator dan pemilik premis sememangnya sudah dikenal pasti. Bagaimanapun, JAS memerlukan sedikit masa untuk membuat carian orang disyaki (sebelum sebarang tangkapan dibuat).

"JAS juga masih perlu menjalankan pengumpulan bahan bukti dan menunggu keputusan analisis kimia ke atas lapan sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas mengenai premis yang menjalankan kerja melebur dan mengasingkan sisa besi secara haram di Kawasan Perindustrian Hi-Tech, Semenyih, yang disita pihak berkuasa, Khamis lalu.

Premis milik persendirian itu dikesan menjalankan aktiviti peleburan besi secara haram yang diperoleh daripada kilang besi, dipercayai di Selangor dan Perak, menggunakan pekerja warga asing tidak berdokumen sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Aktiviti haram premis dalam hutan dan dikelilingi ladang sawit itu terbongkar apabila Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesan pencemaran longkang monsun di Taman Semenyih Permata, kira-kira 1.5 kilometer dari premis berkenaan.

Siasatan awal mendapati pencemaran itu datang daripada limpahan kolam takungan di premis berkenaan, dipercayai mengandungi sisa aktiviti peleburan besi yang menyebabkan air kolam itu berwarna hitam.

Premis aktiviti peleburan besi menyebabkan pencemaran longkang parit monson di Taman Semenyih Permata. - NSTP/Rohanis Shukri
Premis aktiviti peleburan besi menyebabkan pencemaran longkang parit monson di Taman Semenyih Permata. - NSTP/Rohanis Shukri

Norlin berkata, setakat ini, limpahan daripada kolam takungan tidak memberi kesan kepada Sungai Semenyih setakat ini, yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari tapak premis dan Loji Rawatan Air (LRA) Jenderam Hilir yang terletak 27 kilometer di hilir premis.

Katanya, JAS masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan keterangan pemilik tanah, penyewa premis dan individu lain yang terbabit membawa buangan sisa besi ke tapak, selain mengenal pasti modus operandi digunakan.

"Yang penting juga adalah menjejaki premis atau kilang menghasilkan sisa besi ini. Semua maklumat ini diperlukan untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Norlin berkata, skop siasatan JAS menjurus kepada kesalahan dilakukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127) dan peraturan berkaitan iaitu kesalahan berkaitan pencemaran air mengikut Seksyen 25(1) Akta 127 kerana melepaskan pencemar ke alur air tanpa sebarang lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

"Selain itu, kesalahan mengikut Seksyen 34B (1) Akta 127, berkaitan penempatan buangan terjadual (BT) (jika dibuktikan sampel buangan adalah BT) tanpa sebarang kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

"Turut disiasat adalah kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, iaitu membina punca pencemaran udara tanpa sebarang pemberitahuan bertulis kepada Ketua Pengarah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail, berkata suruhanjaya itu belum terbabit secara khusus dalam siasatan.

"SPAN tidak terbabit secara khusus dalam menjalankan siasatan atau mengambil sebarang tindakan melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Ini disebabkan situasi pencemaran di lokasi terbabit tidak membabitkan pencemaran terhadap sumber air mentah untuk kegunaan LRA, atau hingga mengakibatkan penutupan operasi LRA," katanya.

Berita Harian X