Ahad, 14 Februari 2021 | 3:52pm
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim (tengah) melihat pelajar Orang Asli mengikuti PdPR selepas menyerahkan telefon pintar kepada mereka di Kampung Lubok Legong, Baling, hari ini.Foto/Noorazura Abdul Rahman
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim (tengah) melihat pelajar Orang Asli mengikuti PdPR selepas menyerahkan telefon pintar kepada mereka di Kampung Lubok Legong, Baling, hari ini.Foto/Noorazura Abdul Rahman

LZNK peruntuk RM23 juta untuk pelajar asnaf ikuti PdPR

BALING: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan sebanyak RM23 juta menerusi empat skim bantuan khas bagi memastikan pelajar daripada golongan asnaf di negeri itu tidak tercicir dalam mendepani arus digital.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, berkata sebanyak RM21 juta sudah diagihkan kepada semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada 2019 dan 2020 bagi tujuan pembelian peralatan pembelajaran dan pengajaran.

"Pihak LZNK menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan sekolah untuk mencari dan mempertimbangkan mana-mana pelajar yang tercicir akibat masalah kewangan untuk diagihkan bantuan peralatan digital seperti telefon pintar, tablet atau komputer riba termasuk pakej langganan data dan internet mengikut kesesuaian.

"LZNK juga memperuntukkan sejumlah RM650,000 kepada tiga Sekolah Zakat Kedah yang menempatkan sepenuhnya anak-anak asnaf bagi melaksanakan Program i-Digital.

"Ia membabitkan pemberian kemudahan telefon pintar serta data dan Internet selama setahun kepada 370 orang pelajar secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan telefon pintar kepada anak Orang Asli suku Kensiu di Kampung Lubok Legong di sini, hari ini.

Hadir sama, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Ammar berkata, prihatin dengan situasi semasa yang memberi kesan kepada pelbagai pihak terutama institusi pengajian agama yang tidak boleh beroperasi akibat COVID-19, pihak LZNK juga memperuntukkan sejumlah RM561,000 untuk bantuan peralatan digital kepada 187 sekolah yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Katanya, pihaknya juga akan mengagihkan bantuan telefon pintar serta data dan internet secara percuma selama setahun kepada semua 360 pelajar fakir dan miskin cemerlang tajaan biasiswa LZNK yang kini ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) membabitkan peruntukan sebanyak RM280,800.

"Dengan empat skim bantuan khas ini sebagai permulaan, pihak LZNK berharap ia dapat mengurangkan jurang 'kemiskinan digital' dalam kalangan asnaf.

"Ia sekali gus dapat memastikan setiap daripada mereka tidak tercicir daripada mendapat pendidikan yang sempurna dalam tempoh pandemik COVID-19 yang melanda negara kita ketika ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 70 pelajar anak Orang Asli yang menetap di Kampung Lubuk Legong, Mukim Siong di sini menghadapi kesukaran mengikuti PdPR kerana kebanyakan keluarga mereka tidak mempunyai kemudahan telefon pintar dan capaian internet yang rendah di kawasan berkenaan.

Berita Harian X