Ahad, 14 Februari 2021 | 1:26pm

Rebut peluang niaga dalam talian

JEMPOL: Golongan peniaga perlu memanfaatkan sepenuhnya dana disediakan kerajaan untuk memasarkan produk secara dalam talian.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kaedah itu perlu diteroka sepenuhnya peniaga untuk menjana pendapatan ketika negara berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

"Ambil peluang untuk memulakan perniagaan secara dalam talian kerana potensinya amat besar kalau kita fokus melakukannya.

"Jangan putus asa, kita cuba dulu sehingga mahir dan memahami selok-beloknya. Hari ini saya melawat usahawan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

"Kita ingin melihat sendiri bagaimana pengusaha PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) berjaya menghasilkan pelbagai produk, Insya-Allah akan dapat dipasarkan.

"Saranan saya kepada usahawan ketika PKP ini ialah ambil peluang penuh dengan memulakan perusahaan dan tidak berputus asa.

"Kita dapat melihat perniagaan dalam talian, kerajaan telah membantu dengan memberi dana untuk peniaga memulakan perniagaan secara dalam talian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat perusahaan kuih kapit usahawan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) RISDA di Kampung Serting Hilir di sini.

Hadir sama, Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Sharif.

AET adalah program yang dilaksanakan di bawah RISDA, bertujuan menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan tambahan.

Tengku Zafrul turut merasmikan Pusat Program Pembelajaran Digital dan Multimedia di sini, yang menyediakan kemudahan Internet bagi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau turut menyerahkan sumbangan tablet kepada 20 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).

Sementara itu, pengurus pusat berkenaan, Nurul Azma Shafiqah Khairul Azhar, berkata premis itu dilengkapi tujuh komputer riba dan sebuah televisyen pintar bagi kegunaan PdPR.

"Pusat ini baru beroperasi minggu lalu dengan tumpuan kepada keluarga yang mempunyai anak ramai dan tidak cukup peranti bagi keperluan PdPR.

"Sambutan diterima amat menggalakkan dan pusat ini mampu memuatkan 10 pelajar dengan mengambil kira penjarakan fizikal," katanya.

Pusat berkenaan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula 8.30 pagi hingga 5 petang.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kanan) melawat Projek Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia (PPDM) Jempol di Pusat Komuniti Desa Kampung Serting Ilir, Jempol, Negeri Sembilan. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kanan) melawat Projek Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia (PPDM) Jempol di Pusat Komuniti Desa Kampung Serting Ilir, Jempol, Negeri Sembilan. - NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Berita Harian X