Sabtu, 13 Februari 2021 | 7:37pm

PKPD: 13 laluan tikus, satu jalan utama di Besut ditutup tengah malam ini

JERTIH: Sebanyak 13 laluan tikus dan satu jalan utama di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor di Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu akan ditutup bermula 12.01 tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sekatan jalan untuk menghalang penduduk keluar masuk dilaksanakan di tiga Kampung iaitu Kampung Lepan Kejor, Kampung Chegar Batang serta Kampung Pasir Akar.

"Kerja-kerja pemasangan kawat duri di beberapa laluan tikus dilakukan sekitar jam 3.30 petang dan dijangka siap sepenuhnya menjelang malam ini.

"Sementara di beberapa kawasan lain pula akan diletakkan penghadang jalan bergantung kepada kesesuaian tempat," katanya ketika meninjau kerja pemasangan kawat duri di Kampung Padang Baloh, petang tadi.

Abdul Rozak berkata, seramai 58 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Rela akan bertugas sepanjang pelaksanaan PKPD di kawasan itu.

"Tindakan menutup laluan keluar masuk penduduk bukan untuk menyusahkan lebih 2,000 penduduk di sini tetapi bagi tujuan keselamatan kerana kampung terbabit berisiko jangkitan tinggi.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan melaksanakan PKPD di tiga lokaliti itu berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung situasi jangkitan COVID-19 di tiga kampung berkenaan.

Abdul Rozak berkata, penduduk yang berada di kampung berhampiran tidak terlibat dengan kawasan PKPD disarankan menggunakan laluan alternatif untuk keluar ke bandar Jertih.

"Antara laluan alternatif menggunakan laluan Kampung Oh seterusnya ke Jabi dan menghala ke Jertih atau laluan Padang Tapung ke Pelagat seterusnya ke Jertih.

"Kita akui laluan alternatif agak jauh untuk penduduk terutamanya sekitar Pasir Akar, Keruak tetapi untuk sementara waktu kerana kawasan PKPD akan ditutup sepenuhnya sepanjang pelaksanaannya nanti," katanya.

Kerja pemasangan kawat duri di Kampung Padang Baloh, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu, petang tadi susulan pelaksanaan PKPD di tiga lokasi daerah itu. - Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Kerja pemasangan kawat duri di Kampung Padang Baloh, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu, petang tadi susulan pelaksanaan PKPD di tiga lokasi daerah itu. - Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Berita Harian X