Sabtu, 13 Februari 2021 | 12:58pm
Pakar virologi dari Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar. Foto fail NSTP
Pakar virologi dari Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar. Foto fail NSTP

Varian virus di Sarawak tidak jejas imunisasi kebangsaan

KUALA LUMPUR: Penemuan dua varian virus di Sarawak tidak akan merencatkan program imunisasi kebangsaan yang bakal bermula penghujung bulan ini.

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata kemunculan varian COVID-19 berikutan proses mutasi sering dimomokkan segelintir pihak sebagai 'mimpi ngeri' dalam kalangan masyarakat.

Justeru, katanya, ramai beranggapan bahawa sebarang mutasi bakal menyebabkan peningkatan kadar jangkitan dan kematian di Malaysia.

"Dari segi virologi, penularan wabak terhadap manusia akan merangkumi dua proses, iaitu virus dan imunologi (sistem pertahanan badan).

"Berdasarkan data semasa, termasuk membabitkan varian D614G yang dikatakan mudah merebak, mutasi yang ada pada varian ini hanya menyebabkan jangkitan tanpa gejala.

"Bermaksud, ia sekadar di tahap virus dan tidak sampai ke peringkat imunologi yang menyaksikan pelbagai organ penting dalam tubuh manusia dijangkiti serta gagal berfungsi.

"Oleh itu, penemuan sebarang varian tidak bermaksud ia suatu berita buruk, sebaliknya boleh dianggap khabar gembira kerana boleh membantu ke arah mewujudkan imuniti kelompok," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semalam dilaporkan berkata, dua varian masing-masing B.1.160 dan B.1.470 ditemui di Sarawak, hasil maklum balas Unit Virologi, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, laporan setakat ini menunjukkan tiada bukti bahawa dua-dua varian itu mempunyai tahap kebolehjangkitan atau virulens yang lebih tinggi, malah ia belum ditemui di Semenanjung.

Berdasarkan pola jangkitan di seluruh dunia, Sazaly berkata wabak COVID-19 ketika ini berada di peringkat stabil dan semakin menurun, berikutan beberapa faktor.

"Ia stabil dan menurun kerana tiada lagi manusia atau perumah yang boleh dijangkiti, memandangkan ramai sudah terkena virus ini dan menghasilkan imuniti (pertahanan badan).

"Selain itu, kesan vaksin yang mula diberikan di seluruh dunia dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka menyumbang kepada pola seperti ini.

"Justeru, mengambil kira perkembangan sedemikian, Malaysia tidak terkecuali untuk mencapai imuniti kelompok tanpa bersandarkan vaksin, sekiranya varian baharu yang ditemui di negara ini sekadar mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi, tetapi tidak mengundang maut.

"Ini bermaksud, varian seperti itu sekadar menyebabkan jangkitan di peringkat pertama, iaitu virus, tetapi tidak sampai ke peringkat imunologi atau dalam penerangan mudah, COVID-19 akhirnya dijangka menjadi seperti selesema biasa," katanya.

Sazaly berkata, sebelum ini wabak SARS-COV-1 atau sindrom pernafasan akut teruk yang menular di 26 negara dan membabitkan 8,000 kes jangkitan, pada 2003 hilang begitu saja.

Beliau berkata, komuniti dunia menjadi lebih tertanya-tanya apabila tiada vaksin yang dihasilkan untuk menangani wabak itu sehingga kini.

"Maka, kita tidak tolak kemungkinan bahawa pengakhiran bagi COVID-19 atau SARS-COV-2 ini juga boleh jadi seperti SARS-COV-1 iaitu lesap begitu saja," katanya.

Berita Harian X