Jumaat, 12 Februari 2021 | 1:32pm
 Anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Majlis Perbandaran Klang mengadakan operasi ke atas sebuah kilang kitar semula plastik di Telok Gong, Pelabuhan Klang, semalam. - Foto ihsan Facebook Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Majlis Perbandaran Klang mengadakan operasi ke atas sebuah kilang kitar semula plastik di Telok Gong, Pelabuhan Klang, semalam. - Foto ihsan Facebook Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Kilang kitar semula plastik diberikan notis POK

SHAH ALAM: Sebuah kilang kitar semula plastik terpakai di Telok Gong, Pelabuhan Klang dikenakan notis penahanan operasi kelengkapan (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, semalam.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata menerusi operasi Tahun Baharu Cina yang dijalankan bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK), kilang berkenaan didapati menyalahguna lesen yang diberikan MPK iaitu premis berkenaan dikhaskan untuk pergudangan.

"Hasil serbuan, kita mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti menghancur dan mengisar plastik terpakai selain turut membasuh dan memprosesnya menjadi resin untuk dijual di pasaran dalam dan luar negara.

"Kesemua hasil produk akhir kemudiannya dijual di pasaran dalam dan luar negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan terdapat tiga warga China dipercayai pekerja premis itu.

Katanya, hasil siasatan turut mendapati operasi haram kitar semula itu dilakukan sejak lapan bulan lalu.

"Notis POK di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sudah dikeluarkan bagi memastikan tindakan pembaikan diambil segera oleh pihak kilang.

"Kesemua mesin dan peralatan proses disita oleh JAS Selangor mengikut Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974," katanya.

Nor Aziah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 34A, Akta dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi tindakan JAS Selangor di Facebooknya serta mengucapkan terima kasih kepada jabatan berkenaan.

"JAS Selangor mengeluarkan notis POK ke atas kilang kitar semula plastik di Telok Gong. Premis menjalankan aktiviti menghancurkan, mengisar, membasuh dan memproses plastik terpakai menjadi resin.

"Premis turut menyalahguna lesen yang dikhaskan untuk tujuan pergudangan sahaja, semua mesin juga sudah disita. Terima kasih JAS Selangor!," tulisnya.

Berita Harian X