Khamis, 11 Februari 2021 | 7:03pm
 Kakitangan penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS membuat pemeriksaan di sebuah premis yang cuba mengelirukan pelanggan berhubung penggunaan logo halal JAKIM. - Foto ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
Kakitangan penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS membuat pemeriksaan di sebuah premis yang cuba mengelirukan pelanggan berhubung penggunaan logo halal JAKIM. - Foto ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.

2 premis guna logo, sijil halal JAKIM mengelirukan diserbu

SEREMBAN: Tindakan dua pemilik premis di pusat bandar ini yang cuba mengelirukan pelanggan kononnya mereka memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa, petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman, berkata operasi halal itu membabitkan tiga pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri dan lima pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Katanya, premis berkenaan dikesan menjual produk makanan sejuk beku dan beroperasi di Jalan Tuanku Munawir serta Jalan Tun Dr Ismail di sini, disyaki menggunakan logo halal JAKIM pada papan iklan kedai.

"Premis terbabit juga didapati mempamerkan sijil halal pembekal bahan mentah tanpa kebenaran pihak JHEAINS dan taktik itu dilihat cuba mengelirukan pelanggan seolah-olah mereka adalah pemegang sijil halal JAKIM.

"Ia suatu kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ain Arjuna berkata, pihaknya sentiasa menjalankan tindakan penguatkuasaan halal bersama JHEAINS dari masa ke semasa.

Beliau berkata, setakat ini, 10 tindakan kes berkaitan penyalahgunaan logo halal dan sijil tauliah sembelihan membabitkan pengilang, pengedar, restoran dan peruncit diambil tindakan.

Katanya, jika sabit kesalahan, hukuman bagi mereka yang melakukan kesalahan di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 itu ialah denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda sehingga RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan.

"Di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menggunakan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan terbabit boleh dimakan oleh orang Islam juga satu kesalahan dan jika didapati bersalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan denda sehingga RM5 juta bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan," katanya.

Sehubungan itu, Ain Arjuna mengingatkan pengguna berhati-hati dan membuat semakan pada penggunaan logo halal di premis dan produk sama ada produk makanan atau barang gunaan dengan melayari www.halal.gov.my.

Berita Harian X