Khamis, 11 Februari 2021 | 2:40pm
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus

Pelaksanaan moratorium bersasar lebih sesuai: Gabenor BNM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan moratorium bersasar lebih bersesuaian berbanding moratorium automatik kerana menepati keperluan situasi kewangan peminjam untuk menguruskan aliran tunai di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata terdapat kesedaran dalam kalangan peminjam bahawa moratorium automatik sepenuhnya bukan jalan penyelesaian terbaik untuk ekonomi dan rakyat.

Beliau berkata, ini kerana ia menjejaskan penampan bank, sekali gus keadaan itu akan menyebabkan individu dan perniagaan lebih sukar untuk mendapatkan pinjaman.

Katanya, pengukuhan bank penting untuk berjuta-juta rakyat Malaysia sebagai pendeposit bank, malah menerusi pegangan secara tidak langsung menerusi simpanan dalam institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dan Lembaga Tabung Haji.

"Bantuan kewangan kepada individu dan perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak pernah berhenti.

"Justeru, mereka yang berdepan masalah diminta segera untuk berhubung dengan bank masing-masing bagi mendapatkan bantuan kewangan yang bersesuaian dengan situasi kewangan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2020 secara maya, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, setakat ini, seramai 1.4 juta peminjam memohon bantuan bayaran balik pinjaman dengan kadar kelulusan 95 peratus.

"Apa yang penting, 45 peratus daripada peminjam yang menerima bantuan pembayaran balik pinjaman memilih untuk mengurangkan ansuran bulanan berbanding meminta moratorium, malah ia membabitkan peminjam dan isi rumah dalam kumpulan berpendapatan rendah atau B40.

"Ini menunjukkan peminjam membuat pilihan tepat untuk menguruskan hutang berdasarkan apa yang mereka mampu. Jadi, mereka tidak meminta moratorium.

"Mereka tidak mahu satu penyelesaian yang sesuai untuk semua. Apa yang mereka mahukan ialah bantuan kewangan yang memenuhi keadaan kewangan," katanya.

Beliau berkata, BNM juga melihat nilai pembayaran balik pinjaman kembali semula ke paras sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Mengenai rungutan tempoh bayaran balik pinjaman terlalu lama, Nor Shamsiah mengakui BNM sedar terdapat rungutan mengenai tempoh pembayaran balik agak panjang setelah bantuan kewangan diberikan.

Beliau menjelaskan, bank menawarkan bantuan bayaran balik bersasar untuk meringankan beban aliran peminjam termasuk mengurangkan ansuran bulanan, yang mana apabila ansuran dikurangkan, tempoh melunaskan pinjaman akan menjadi lebih lama dan ini akan meningkatkan kos pinjaman.

Katanya, BNM sentiasa menekankan kuasa memilih di tangan peminjam supaya pakej kewangan sesuai dengan situasi kewangan mereka.

Justeru, beliau menasihatkan peminjam supaya mendapatkan penjelasan mengenai terma bayaran balik yang ditawarkan dan kesan kepada kos pinjaman.

Malah, tegasnya, peminjam juga mempunyai hak untuk meningkatkan bayaran ansuran mereka apabila mereka bersedia untuk berbuat demikian.

"Peminjam boleh berbincang dengan bank untuk meningkatkan bayaran balik apabila kedudukan kewangan mereka sudah pulih. Ini akan memendekkan tempoh bayaran balik dan mengurangkan kos pinjaman.

"Dalam kebanyakan kes, tempoh pinjaman panjang adalah petunjuk bahawa jumlah ansuran kekal berterusan sepanjang tempoh pinjaman. Apabila peminjam meningkatkan ansuran bayaran balik bulanan mereka, tempoh akan menjadi lebih pendek," katanya.

Nor Shamsiah juga menasihatkan peminjam supaya menghubungi bank masing-masing sekiranya menghadapi masalah dan mereka juga boleh menghubungi BNM jika berdepan masalah dengan bank.

Beliau berkata, BNM juga menyediakan panduan bagi peminjam untuk memilih bantuan kewangan yang sesuai di laman sosial BNM.

Berita Harian X