Isnin, 8 Februari 2021 | 7:07pm
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock. - Foto fail NSTP
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock. - Foto fail NSTP

Persiapan calon SPM, SVM 2020 tidak terjejas - NUTP

KUALA LUMPUR: Persediaan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi tahun 2020 tidak akan terjejas walaupun sesi persekolahan secara bersemuka tamat mulai esok.

Setiausaha Agong Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Huat Hock, berkata walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka berlangsung kurang sebulan sejak 20 Januari lalu, persiapan SPM dilakukan guru serta murid sejak tahun lalu berjalan lancar termasuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi menghabiskan silibus subjek.

Beliau berkata, tempoh kira-kira dua minggu sebelum SPM bermula pada 22 Februari ini adalah 'pecutan' akhir bagi calon membuat persediaan peperiksaan termasuk latihan teknik menjawab soalan.

"Kini adalah masa untuk mereka (calon) belajar sendiri dan membuat persiapan terakhir. Jika masih memerlukan bantuan secara individu, mereka masih boleh menghubungi guru," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Menerusi edaran pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 4 Februari yang tular baru-baru ini, sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir esok bagi memberi ruang pelajar membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula 22 Februari ini, selain membolehkan pelajar menyambut Tahun Baharu Cina.

Pekeliling itu turut menyatakan jika terdapat keperluan mengadakan kelas tambahan bagi calon peperiksaan, pihak sekolah boleh melaksanakan dengan persetujuan ibu bapa dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Susulan itu, terdapat saranan daripada beberapa pihak termasuk calon peperiksaan supaya sesi PdP bersemuka di sekolah diteruskan sehingga bermula peperiksaan.

Sementara itu, beberapa calon peperiksaan berpendapat persiapan mereka menduduki peperiksaan hujung bulan ini tidak terkesan, malah ruang masa yang ada dimanfaatkan dengan mengulang kaji pelajaran.

Calon SPM 2020, Mohamad Fikri Mohd Noor, 17, berkata sesi PdP sejak 20 Januari lalu digunakan sepenuhnya dengan mengulang kaji silibus diajar ketika PdPR.

Beliau yakin, semua calon SPM akan memanfaatkan tempoh akhir ini untuk memantapkan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Pelajar SMK Batu Muda, Sentul di sini, Nur Farah Aqilah Huzair, 17, berkata sepanjang persekolahan secara PdPR sebelum ini, guru dan rakan sekelasnya menghabiskan silibus subjek.

"Kami masuk sekolah (baru-baru ini) hanya untuk ulang kaji silibus sebelum ini dan buat latih tubi soalan ramalan serta koleksi soalan peperiksaan tahun lalu," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X